PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Mengukuh Susulan Kenaikan Harga Minyak

08/10/2024 08:50 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan lebih positif apabila mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu oleh kenaikan harga minyak mentah global Brent yang melepasi paras US$80 setong, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat ke paras 4.2590/2865 berbanding dolar AS daripada 4.2810/2880 yang dicatatkan semalam.  

Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh ketegangan di Timur Tengah yang masih belum reda.

Pada masa sama, hasil pulangan bon Perbendaharaan AS yang meningkat turut memberi isyarat bercampur-campur bagi ringgit.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata faktor lain termasuk konflik ketenteraan di Timur Tengah yang berpotensi mencetuskan minat menolak risiko selain data pekerjaan AS yang menunjukkan ekonomi negara maju itu masih berdaya tahan dan mewajarkan pendekatan monetari yang lebih sederhana.

“Dolar AS dijangka kekal meningkat dalam masa terdekat. Berikutan itu, ringgit kekal tidak menentu ketika pasaran masih gelisah dengan unjuran pengurangan kadar faedah AS dan bagaimana perkembangan ketegangan di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama.

 Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain, termasuk meningkat berbanding euro kepada 4.6738/7040 daripada 4.6920/6996.

Ringgit juga naik berbanding yen Jepun kepada 2.8750/8937 daripada 2.8857/8909 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5725/6085 daripada 5.5953/6044 sebelum ini. 

Mata wang tempatan itu turut memaparkan prestasi lebih baik berbanding mata wang ASEAN seperti mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2661/2874 daripada 3.2832/2888 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 271.4/273.3 daripada 272.8/273.4 semalam. 

Ringgit juga mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7153/8108 daripada 12.7948/8218, semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.55 daripada 7.54/7.55 sebelum ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan