PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Rendah Sejajar Dengan Niaga Hadapan Getah Serantau

10/10/2024 07:51 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Khamis, dipengaruhi oleh aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau apabila peniaga memberi reaksi terhadap minit mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kata peniaga.

Beliau berkata pegawai Fed berbelah bahagi sama ada akan mengurangkan kadar faedah sebanyak setengah mata pada September apabila pasaran semakin yakin dengan pendekatan Fed untuk terus melonggarkan dasar monetari, walaupun laporan inflasi utama akan dikeluarkan kemudian.

 Sentimen global juga terjejas berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah, katanya.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya telah dihadkan oleh penyusutan ringgit berbanding dolar AS, kenaikan harga minyak mentah, dan kebimbangan mengenai kekangan bekalan getah asli (NR) susulan ramalan cuaca,” katanya kepada Bernama.

Peniaga berkata niaga hadapan getah Jepun merosot pada Khamis, apabila keadaan cuaca di kawasan pengeluar global bertambah baik sekali gus mengurangkan tekanan bekalan, walaupun yen yang lebih rendah mengehadkan penurunan harga.

Beliau berkata harga minyak dalam dagangan Asia meningkat dan stabil pada Khamis berbanding penurunan ketara dua hari kerana tumpuan kekal kepada konflik Timur Tengah dan lebih banyak langkah rangsangan oleh kerajaan China.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, pengeluaran getah asli Malaysia susut 5.2 peratus kepada 35,979 tan pada Ogos 2024 daripada  37,960 tan bulan lepas.

DOSM menambah bahawa berasaskan tahun ke tahun,  pengeluaran NR meningkat 14.9 peratus daripada 31,309 tan pada Ogos 2023, tambahnya.

 Lembaga Getah Malaysia (MRB) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 4.5 sen kepada 878.5 sen bagi setiap kilogram, manakala susu getah pukal susut 0.50 sen kepada 749.5 sen bagi setiap kilogram.

Pada pukul 5 petang, GMM 20 berada pada 864 sen setiap kilogram manakala susu getah pukal mencecah 748.5 sen setiap kilogram.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan