PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Akhiri Penurunan Tiga Hari Berturut-turut Untuk Ditutup Tinggi

11/10/2024 10:27 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat apabila kebimbangan terhadap eksport yang lebih kukuh dalam beberapa minggu akan datang telah menyokong sentimen jangka masa terdekat, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan pengeluaran yang lebih rendah pada minggu-minggu akan datang turut membantu menaikkan harga.

“Jangkaan eksport yang lebih kukuh dan pengeluaran lebih rendah pada minggu-minggu akan datang berkemungkinan menyebabkan stok keseluruhan lebih rendah di negara ini, yang positif untuk harga.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM4,230 satu tan dan rintangan pada RM4,450 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, Lembaga Minyak Sawit Malaysia menjelaskan eksport minyak sawit pada September 2024 meningkat 0.93 peratus kepada 1.54 juta tan daripada 1.53 juta tan pada Ogos 2024, manakala jumlah stok minyak sawit meningkat 6.93 peratus kepada 2.01 juta tan daripada 1.88 juta tan.

Sebaliknya, pengeluaran MSM merosot 3.8 peratus atau 71,926 tan kepada 1.82 juta tan pada September 2024 daripada 1.89 juta tan pada Ogos.

Pada penutupan, Oktober 2024 kurang RM67 kepada RM4,283 satu tan, November 2024 menokok RM116 kepada RM4,385 satu tan, Disember 2024 menambah RM117 kepada RM4,350 satu tan, Januari 2025 meningkat RM119 kepada RM4,315, Februari 2025 menokok RM111 kepada RM4,278 dan Mac 2025 naik RM101 kepada RM4,240.

Jumlah dagangan merosot kepada 99,963 lot daripada 108,838 lot semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 252,079 kontrak daripada 251,551 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan menambah RM80 kepada RM4,480 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan