PASARAN > BERITA

Kekuatan Niaga Hadapan Emas Dijangka Berkurangan Minggu Depan

12/10/2024 10:19 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka berkurangan dari segi kekuatannya pada minggu depan tetapi masih akan disokong di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata daya tahan dolar US dan unjuran kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang agak berhati-hati telah mengurangkan keghairahan terhadap komoditi selamat itu.

"Walaupun sokongan menurun terus kekal berikutan ketegangan geopolitik semasa, kenaikan harga kelihatan terhad melainkan kami melihat penetapan semula harga yang lebih berhat-hati pada keluk Fed yang didorong oleh data AS yang agak lemah," katanya kepada Bernama.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Oktober 2024 menutup minggu ini dengan tidak bermaya pada US$2,645.90 satu auns troy berbanding US$2,669.80 yang disaksikan pada minggu lepas dan November 2024 turun kepada US$2,667.70 daripada US$2,691.10.

Disember 2024, Januari 2025 dan Februari 2025 semuanya berakhir lebih rendah pada US$2,669.10 satu auns troy daripada US$2,691.60 sebelumnya.

Jumlah dagangan melebar kepada 88 lot daripada 71 lot manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 53 kontrak berbanding 67 sebelum ini.

Berdasarkan kepada penetapan petang London Bullion Market Association pada 10 Okt, harga emas fizikal berada pada US$2,628.95 satu auns troy.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan