PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Dijangka Alami Tidak Banyak Perubahan Minggu Depan

12/10/2024 10:22 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka mengalami dagangan yang tidak banyak berubah dengan kecenderungan menurun minggu depan, dipengaruhi oleh krisis Laut Merah yang semakin buruk, kata pakar industri.

Denis Low berkata keadaan itu turut ditambah dengan cadangan Suruhanjaya Eropah (EC) untuk menangguhkan Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR) selama setahun lagi.

Krisis Laut Merah yang semakin buruk memperlahan aktiviti memperoleh dan mengisi semula stok serta memberi tekanan kepada perdagangan global, katanya.

“Apabila ekonomi terganggu, lebih banyak ketidaktentuan akan berlaku dan permintaan bagi kebanyakan barangan dan komoditi boleh terjejas,” katanya.

Mengenai cadangan EC untuk menangguhkan EUDR, beliau berkata aktiviti pembelian akan terhad kepada pengisian semula stok secara berterusan.

“Ketidakpastian ini pasti akan menjejaskan penggunaan industri dan pengeluaran getah di peringkat global, menyebabkan permintaan dan harga menjadi tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata peniaga perlu berhati-hati kerana cuaca luar biasa di kawasan pengeluar getah boleh menjejaskan pengeluaran komoditi.

“Pengeluaran getah akan terjejas teruk jika kawasan penanaman dilanda banjir. Cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata pengendali pasaran akan terus memantau perkembangan ekonomi Amerika Syarikat dan China, terutama petanda mengenai pengurangan kadar faedah, pelaksanaan langkah rangsangan China, perkembangan berkaitan EUDR dan konflik geopolitik Timur Tengah.

Menurut Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, prospek pasaran getah untuk minggu depan kelihatan positif, dengan pasaran kekal optimis.

Pada Khamis, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pengeluaran getah asli (NR) Malaysia turun 5.2 peratus kepada 35,979 tan pada Ogos 2024 daripda 37,960 tan pada bulan sebelumnya.

DOSM juga menjelaskan pengeluaran NR meningkat 14.9 peratus pada Ogos 2024 daripada 31,309 tan pada Ogos 2023.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 19.5 sen kepada 851 sen sekilogram daripada 870.5 sen sekilogram minggu lepas.

Susu getah pukal menokok 12.0 sen kepada 748.5 sen sekilogram daripada 736.5 sen sekilogram.

Pada pukul 5 petang, harga fizikal GMM 20 berada pada 853.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 749 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan