PASARAN > BERITA

Kontrak Niaga Hadapan MSM Dijangka Meningkat Minggu Depan

12/10/2024 10:23 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan berikutan prestasi eksport yang kukuh, kata seorang peniaga. 

Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan eksport yang lebih kukuh untuk beberapa minggu akan datang berkemungkinan mengakibatkan stok keseluruhan lebih rendah di negara ini, ia akan menguntungkan dari segi harga.

“Kami menjangkakan harga berada dalam julat RM4,230-RM4,450 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata anggaran eksport minyak sawit Malaysia untuk Oktober, dijangka dikeluarkan oleh jurukur kargo Intertek Testing Services dan Amspec akan menjadi antara tumpuan minggu depan.

Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata pasaran MSM akan menyaksikan aktiviti pengambilan untung minggu depan dengan harga antara RM3,800-RM3,900 satu tan metrik selepas keluaran data terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan paras stok yang lebih tinggi di Malaysia pada bulan September.

“Harga MSM terlalu tinggi yang boleh menyebabkan harga makanan meningkat.

“Permintaan fizikal untuk MSM...seperti biasa akan datang dari India, China, Pakistan, negara Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan rendah berikutan disebabkan oleh data MPOB serta dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah dan minyak kacang soya.

Pada Khamis, MPOB berkata eksport minyak sawit pada September 2024 meningkat 0.93 peratus kepada 1.54 juta tan metrik daripada 1.53 juta tan metrik pada Ogos 2024 manakala jumlah stok minyak sawit melonjak 6.93 peratus kepada 2.01 juta tan metrik daripada 1.88 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

Sebaliknya, pengeluaran MSM merosot 3.8 peratus atau 71,926 tan metrik kepada 1.82 juta tan pada bulan di bawah kajian daripada 1.89 juta tan pada Ogos.

Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta Oktober 2024 naik RM124 kepada RM4,283 setan metrik, November 2024 meningkat RM289 kepada RM4,385, Disember 2024 menambah RM299 kepada RM4,350, Januari 2025 melonjak RM301 kepada RM4,315, Februari 2025 meokok RM299 kepada RM4,278 dan Mac 2025 naik RM295 kepada RM4,240.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 470,718 lot daripada 437,710 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 292,079 kontrak daripada 251,725 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan meningkat RM60 kepada RM4,480 satu tan metrik pada Jumaat daripada RM4,420 setan seminggu senbelumnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan