PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

14/10/2024 11:30 AM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada penutupan dagangan di Wall Street yang kukuh pada Jumaat lepas, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.22 mata kepada 1,637.77 daripada 1,633.55 pada Jumaat lepas. 

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.62 mata kepada 1,637.17.

Suasana pasaran positif dengan 150 kaunter untung mengatasi 113 kaunter rugi manakala 260 kaunter kekal tidak berubah. Sebanyak 1,942 saham tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 133.33 juta unit bernilai RM58.15 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI dijangka kekal dalam fasa konsolidasi pada minggu ini kecuali terdapat pemangkin baharu.

“Pelabur digesa terus berhati-hati sehingga hala tuju pasaran menjadi lebih jelas. Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan dalam julat 1,630 hingga 1,640 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Penutupan dagangan di Wall Street yang tinggi didorong oleh pendapatan bank yang kukuh meningkatkan saham kewangan manakala data inflasi memacu jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan pada November.

Bagaimanapun, di Asia, indeks utama ditutup rendah berikutan aktiviti pengambilan untung disebabkan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah.

Dalam saham wajaran tinggi, Public Bank, yang juga kaunter paling untung naik 7.0 sen kepada RM4.38, Genting Malaysia dan YTL, masing-masing meningkat 3.0 sen kepada RM2.38 dan RM2.48. Hong Leong Bank menambah 20.0 sen kepada RM21.30 dan HLFG naik 16.0 sen kepada RM19.20.

Bagi kaunter aktif, EA Holdings tidak berubah pada setengah sen, Key Alliance susut setengah sen kepada setengah sen, Steel Hawk menambah setengah sen kepada 31.5 sen, diikuti Public Bank dan IFCA MSC, masing-masing naik 7.0 sen kepada RM4.38.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.69 mata kepada 12,305.44, Indeks FBMT 100 naik 23.29 mata kepada 12,002.14, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.24 mata kepada 12,218.59. Indeks FBM 70 menambah 5.76 mata kepada 17,600.15, bagaimanapun Indeks FBM ACE berkurangan 22.99 mata kepada 5,125.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 84.44 mata kepada 19,262.72 dan Indeks Perladangan meningkat 10.42 mata kepada 7,211.83.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.15 mata kepada 175.92 manakala Indeks Tenaga naik 3.63 mata kepada 885.73.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan