BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Catat Dagangan Turun Naik Pada Sesi Awal, Sentimen Positif

27/11/2024 04:53 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia menyaksikan dagangan turun naik pada sesi awal Rabu dengan indeks petunjuk utama pasaran itu mencatat pergerakan dalam wilayah untung dan rugi.

Pada 9.09 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.58 mata kepada 1,603.73 daripada paras 1,603.15 pada akhir dagangan Selasa.

Sewaktu dibuka, indeks petunjuk utama itu menyusut 1.81 mata kepada 1,601.34.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 176 berbanding 159 manakala 261 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,861 tidak didagangkan dan 44 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 173.46 juta unit bernilai RM118.13 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan indeks itu kekal dalam julat 1,600-1,610 pada hari ini ketika ketidaktentuan pasaran kekal ketara sebagaimana dipaparkan menerusi jumlah dagangan harian yang lebih suram.

Ini diburukkan lagi dengan kenyataan Presiden dilantik Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan levi lebih tinggi ke atas China, Mexico dan Kanada yang menyemarakkan lagi keresahan di peringkat serantau.

Mengulas prestasi sektor, Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat sektor berkaitan eksport seperti sarung tangan getah dan teknologi, berkemungkinan mendapat manfaat susulan peningkatan ketegangan dagangan AS dan China serta faktor dolar AS yang mengukuh.

Menurutnya, peningkatan semula harga minyak sawit mentah juga berkemungkinan melonjakkan sentimen dalam sektor perladangan.

“Seiring kehadiran musim perayaan dan ditambah dengan pengukuhan pendapatan daripada aliran penumpang dan pergerakan musim cuti, kami menjangkakan saham-saham berkaitan penerbangan, hospitaliti dan pengguna meraih tumpuan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi Maybank naik dua sen kepada RM10.24, CIMB meraih lima sen kepada RM8.40 manakala Public Bank, Tenaga Nasional dan CelcomDigi sebaliknya tidak berubah pada RM4.43, RM14.04 dan RM3.58.

Bagi saham aktif, Genetec Technology menokok lima sen pada RM92.5 sen, MBSB naik 2.5 sen kepada 75 sen, JCY International meraih dua sen kepada 37.5 sen, Mestron meningkat satu sen kepada 31 sen dan Coraza menambah 7.5 sen kepada 42.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 11.54 mata kepada 12,182.49, Indeks FBMT 100 mengukuh 11.26 mata kepada 11,887.63, Indeks FBM Emas Shariah menambah 5.34 mata kepada 12,135.70, Indeks FBM 70 melonjak 42.71 mata kepada 17,933.56 dan Indeks FBM ACE meningkat 9.46 mata kepada 5,148.71.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 70.13 mata kepada 19,269.69 dan Indeks Perladangan menambah 0.49 mata kepada 7,533.11.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.26 mata kepada 172.06 manakala Indeks Tenaga berkurangan 0.71 mata kepada 820.42.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan