PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekal Mengukuh Pada Dagangan Tengah Hari

03/12/2024 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada dagangan tengah hari Selasa, disokong oleh belian dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui produk dan perkhidmatan pengguna, produk dan perkhidmatan perindustrian selain perladangan.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.44 mata kepada 1,598.92 daripada 1,595.48 pada akhir dagangan semalam. 

Indeks petunjuk utama yang dibuka menokok 3.84 mata kepada 1,599.32, turut bergerak dalam julat 1,594.07 hingga 1,602.90 pada sesi dagangan awal.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 489 berbanding 410 manakala 470 kaunter tidak berubah, 1,046 tidak didagangkan dan 15 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.66 bilion unit bernilai RM1.36 bilion.

Seorang penganalisis berkata pelabur masih meneliti prestasi pelaporan korporat yang bercampur-campur baru-baru ini selain tindakan berterusan pelabur asing mengeluarkan dana selain ancaman Presiden terpilih Donald Trump untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara BRICS.

Kesemua faktor itu, katanya, hanya menyumbang kepada sentimen pasaran yang lemah. 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata prestasi korporat yang bercampur-campur bagi tempoh suku ketiga 2024 yang diumumkan baru-baru ini menyaksikan daripada 112 saham di bawah liputannya, sebanyak 38 peratus menepati jangkaan, 36 peratus di bawah jangkaan dan baki 26 peratus melepasinya.

“Apabila disusun mengikut konsensus, kadar prestasi seiring dengan jangkaan adalah sama pada 38 peratus manakala susut/melangkaui adalah lebih rendah/lebih tinggi pada 34 peratus/28 peratus.

“Kami turunkan sasaran FBM KLCI 2024/2025 kepada 1,620/1,720 dan mengurangkan gandaan penilaian kami berikutan ketidaktentuan luaran yang mungkin berpunca daripada (pentadbiran) 'Trump 2.0'," kata HLIB dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi seperti Maybank, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing untung dua sen kepada RM10.10, RM4.49 dan RM13.50 manakala IHH menambah satu sen kepada RM7.21. CIMB susut satu sen kepada RM8.20.

Kaunter paling untung adalah United Plantations yang meraih 88 sen kepada RM31.54, Petronas Dagangan melonjak 60 sen kepada RM20.16 dan Ajinomoto menambah 20 sen kepada RM15.78.

Bagi saham aktif, Velesto Energy tidak berubah pada 15.5 sen, JCY International naik 3.5 sen pada 47.5 sen, MYEG menokok 1.5 sen kepada 90 sen, Cape EMS meraih dua sen kepada 38 sen manakala Sapura Energy susut setengah sen kepada 3.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meraih 28.35 mata kepada 12,176.38, Indeks FBMT 100 menokok 28.23 mata kepada 11,866.32 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 43.08 mata kepada 12,153.36.

Indeks FBM 70 naik 52.58 mata kepada 17,954.03 dan Indeks FBM ACE meraih 16.67 mata kepada  5,139.34.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.14 mata kepada 19,036.47, Indeks Perladangan turun 9.51 mata kepada 7,662.05, Indeks Tenaga berkurangan 6.47 mata kepada 802.14 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.81 mata kepada 174.38.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan