PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI BERIKUTAN PRESTASI HAMBAR WALL STREET

13/12/2024 11:03 AM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan prestasi hambar semalaman Wall Street susulan indeks harga pengeluar (IHP) Amerika Syarikat (AS) menjejaki harga borong seterusnya menimbulkan kebimbangan sama ada inflasi dapat diturunkan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.54 mata kepada 1,605.62 daripada 1,602.62 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.78 mata lebih tingggi kepada 1,603.86.

Pasaran secara keseluruhannya positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 182 berbanding 176, manakala 284 kaunter kekal tidak berubah, 1,881 tidak diniagakan dan 4 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 136.53 juta unit bernilai RM77.06 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun ramai menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah minggu depan, hasil perbendaharaan 10 tahun AS naik lebih tinggi kepada 4.336 peratus.

"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng pulih semula apabila pelabur menunggu butiran lanjut daripada mesyuarat dasar ekonomi China yang penting ditambah dengan jangkaan lebih baik bahawa Fed AS akan menurunkan kadar faedah berikutan angka indeks harga pengguna (IHP) yang menggalakkan untuk bulan November," katanya. Bernama.

IHP AS November adalah pada 2.7 peratus, meningkat daripada 2.6 peratus bulan sebelumnya, bagaimanapun IHP teras kekal pada 3.3 peratus selama tiga bulan berturut-turut selepas mencatatkan 3.2 peratus pada Ogos, menunjukkan kadar inflasi kekal tinggi.

Di peringkat tempatan, Thong berkata memandangkan kecairan pasaran yang rendah, beliau percaya prestasi Bursa Malaysia akan kekal hambar dengan itu indeks dijangka berada dalam julat 1,600-1,610 hari ini.

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) meningkat 3.0 peratus tahun ke tahun pada November 2024 daripada +2.6 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024, melebihi jangkaan pasaran sebanyak +2.6 peratus tahun ke tahun dan menunjukkan peningkatan terpantas sejak Februari 2023.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata inflasi IHPR yang lebih kukuh, memberi petunjuk bahawa tekanan kos lebih tinggi, ia juga menambah kebimbangan inflasi.

"Walaupun inflasi kekal tinggi, kami mengekalkan jangkaan kami untuk satu lagi penurunan kadar faedah oleh Fed AS pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bulan ini (Disember 2024) yang akan datang dengan mengambil kira petunjuk baharu pasaran buruh seperti kenaikan kadar pengangguran bulan lepas dan pengangguran awal lebih tinggi. tuntutan, meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu sebanyak 242,000...pada minggu pertama Disember 2024," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM10.18, CIMB menambah 5.0 sen kepada RM8.18, Tenaga Nasional menokok 8.0 sen kepada RM13.64 bagaimanapun IHH Healthcare merosot 3.0 sen kepada RM7.14, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.57.  

Bagi saham aktif, Datasonic melonjak 1.0 sen kepada 44 sen, Bumi Armada meningkat 1.0 sen kepada 63.5 sen namun KGW susut  0.5 sen kepada 18.5 sen, manakala EA Holdings dan Hubline tidak berubah masing-masing pada 1.0 sen dan 6.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 28.06 mata kepada 12,314.61, Indeks FBMT 100 menambah 29.20 mata kepada 11,997.24, Indeks FBM 70 menokok 54.97 mata kepada 18,450.02, Indeks FBM Emas Shariah menokok 27.16 mata kepada 12,294.80, bagaimanapun Indeks FBM ACE susut 0.76 mata kepada 5,308.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 35.41 mata kepada 19,137.53, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.47 mata kepada 175.16, Indeks Tenaga meningkat 1.80 mata kepada 825.95, bagaimanapun Indeks Perladangan turun 3.65 mata kepada 7,650.65.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan