PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Ketika Prospek Bekalan Terhad

04/03/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh bekalan getah asli yang terhad berikutan musim daun pokok getah luruh, kata peniaga.

Peniaga berkata sentimen pasaran turut didorong oleh keyakinan yang meningkat terhadap langkah rangsangan tambahan China menjelang mesyuarat penggubal dasar utama di negara itu minggu depan.

“Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh petunjuk lemah daripada pasaran niaga hadapan getah serantau dan penyusutan dalam petunjuk pasaran harga minyak mentah berikutan kebimbangan peniaga terhadap perang perdagangan global yang semakin meruncing dan menjejaskan sentimen.

“Niaga hadapan getah Jepun menurun sedikit pada Selasa apabila tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Kanada, Mexico dan pengguna getah utama China dijangka berkuat kuasa dalam tempoh beberapa jam, mengatasi prospek bekalan yang semakin terhad,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bekalan getah asli di selatan Thailand dilaporkan merosot, mendorong bekalan getah asli global berada pada paras terendah bermusim memandangkan tanaman getah mengalami tempoh pengeluaran yang bekurangan daripada Februari hingga Mei.

“Pembuat dasar China dilaporkan dijangka mengumumkan sasaran ekonomi dan sokongan dasar baharu minggu depan dalam pertemuan berprofil tinggi di Beijing.

“Pelabur juga akan memantau sebarang isyarat sokongan selanjutnya dalam sektor hartanah yang sedang bergelut dan pemaju tempatan yang mempunyai hutang yang besar (di China),” katanya.

Lembaga Getah Malaysia melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 naik empat sen kepada 927.50 sen sekilogram pada 3 petang manakala lateks pukal meningkat satu sen kepada 717.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan