PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

07/03/2025 10:39 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki penurunan semalaman di Wall Street berikutan ketidaktentuan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) yang mendorong aktiviti jualan.  

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.45 mata kepada 1,553.46 daripada 1,558.91 semalam.  

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 3.16 mata kepada 1,555.75.  

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 234 berbanding 105, dengan 193 kaunter tidak berubah, 1,838 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.  

Jumlah dagangan sebanyak 156.06 juta saham bernilai RM79.04 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street kembali mencatatkan penurunan selepas turun naik yang didorong oleh kebimbangan mengenai tarif ke atas Mexico dan Kanada.

Katanya AS mengumumkan penangguhan selama sebulan bagi duti sebanyak 25 peratus ke atas barangan Mexico yang mematuhi Perjanjian AS-Mexico-Kanada manakala Kanada dijangka menerima pengecualian yang sama.

Ini mendorong pelabur untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga dasar perdagangan menjadi lebih jelas.  

“Pelabur juga akan memberi tumpuan kepada data senarai gaji bukan ladang dan kadar pengangguran hari ini,” katanya.  

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB naik lima sen kepada RM7.55, IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM7.40, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM13.82 manakala Maybank dan Public Bank, masing-masing mendatar pada RM10.56 dan RM4.59.

Bagi saham aktif, NexG dan Euro Holdings, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 26 sen dan lima sen, NationGate susut enam sen kepada RM1.36 manakala TWL Holdings dan Harvest Miracle Capital, masing-masing mendatar pada 2.5 sen dan 13 sen.  

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 36.96 mata kepada 11,566.38, Indeks FBMT 100 susut 35.62 mata kepada 11,344.68, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 54.84 mata kepada 11,245.09, Indeks FBM 70 turun 35.12 mata kepada 16,429.30 dan Indeks FBM ACE berkurangan 15.29 mata kepada 4,581.56.  

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.09 mata kepada 155.56, Indeks Tenaga naik 1.03 mata kepada 724.63, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 13.08 mata kepada 19,060.39 dan Indeks Perladangan susut 33.92 mata kepada 7,532.94.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan