Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi berikutan pengukuhan harga minyak kacang soya, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata kebimbangan terhadap pengeluaran dan paras stok yang rendah di negara ini turut mempengaruhi sentimen.
“Dari segi teknikal, harga MSM akan mendapat paras sokongan pada RM4,400 setan dan paras rintangan pada RM4,650 setan,” kata Ng kepada Bernama.
Sementara itu, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd berkata harga semerta MSM dijangka kekal mendapat sokongan pada paras semasa, diniagakan dalam julat RM4,500 hingga RM4,600 setan bulan ini.
Ia berkata bekalan minyak sawit akan kekal terhad pada Mac berikutan bulan Ramadan yang dijangka mengurangkan waktu bekerja, mungkin menjejaskan produktiviti buruh.
"Kami menjangkakan eksport minyak sawit akan kekal lemah pada Mac disebabkan oleh catuan permintaan di tengah-tengah harga premium MSM berbanding minyak sayuran pesaing," kata CGS International dalam nota penyelidikannya semalam.
Sementara itu, menurut kajian oleh Intertek Testing Services, eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-10 Mac, 2025, adalah 25 peratus lebih rendah bulan ke bulan (m-o-m) berbanding 1-10 Feb, 2025.
Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2025 naik RM22 kepada RM4,759 setan, April 2025 tidak berubah kepada RM4,633 setan, dan Mei 2025 susut RM1 kepada RM4,487 setan.
Sementara itu, kontrak Jun 2025 tidak berubah kepada RM4,370 setan, Julai 2025 turun RM6 kepada RM4,268 setan, dan Ogos 2025 susut RM3 kepada RM4,209 setan.
Jumlah dagangan susut kepada 94,670 lot daripada 114,939 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 244,703 kontrak daripada 239,274 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan meningkat RM10 kepada RM4,850 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial