PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Meningkat Semula, Jejaki Petunjuk Dari Wall Street

17/07/2025 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan selama dua hari berturut-turut untuk dibuka tinggi pada Khamis didorong minat belian yang muncul, menjejaki petunjuk daripada prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.99 mata atau 0.33 peratus kepada 1,516.49 daripada 1,511.50 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 0.39 mata lebih tinggi kepada 1,511.89.

Pasaran secara keseluruhan berada dalam keadaan positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 180 berbanding 107, manakala 218 kaunter tidak berubah, 1,952 kaunter tidak diniagakan, dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 176.48 juta saham bernilai RM91.94 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan sesi dagangan Wall Street dalam tempoh semalaman menunjukkan pemuihan minat belian secara beransur-ansur, walaupun terdapat angka inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan dasar perdagangan yang tidak menentu.

Ini berikutan spekulasi Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Jerome Powell telah dipecat, tambahnya.

“Kami juga memilih saham terpilih dalam sektor teknologi, susulan perkembangan positif dari segi dasar eksport cip global.

“Bagi pendekatan yang lebih defensif dan mengambil kira penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini, kami terus memilih amanah pelaburan hartanah (REIT), memandangkan hasil dividen mereka menawarkan premium yang menarik berbanding bon kerajaan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.57, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.24, manakala Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM13.74. CIMB dan IHH Healthcare masing-masing kekal tidak berubah pada RM6.50 dan RM6.52.

Antara saham aktif, iCents Group yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meningkat lima sen kepada 29 sen, Nationgate naik tiga sen kepada RM1.51, Tan Chong Motors susut dua sen kepada 77 sen, manakala NexG dan TWL masing-masing tidak berubah pada 48.5 sen dan tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 31.97 mata kepada 11,403.0, Indeks FBMT 100 naik 32.39 mata kepada 11,165.04, manakala Indeks FBM Emas Syariah menambah 34.50 mata kepada 11,438.45.

Indeks FBM 70 menokok 29.23 mata kepada 16,550.62, manakala Indeks FBM ACE susut 0.26 mata kepada 4,581.82.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 40.87 mata kepada 17,284.63, Indeks Tenaga turun 1.31 mata kepada 734.36, manakala Indeks Perladangan kurang 0.54 mata kepada 7,406.25.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula naik 0.34 mata kepada 152.97.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan