KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat, didorong oleh harga minyak mentah yang mencatatkan aliran meningkat, kata peniaga.
Beliau berkata harga minyak mentah bergerak stabil hari ini selepas mengalami kenaikan ketara, susulan serangan dron ke atas medan minyak Iraq, manakala data industri terkini yang menunjukkan kekangan pasaran yang berterusan turut memberi sokongan.
Semasa laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 0.19 peratus kepada US$69.65 setong.
Peniaga berkata sentimen pasaran turut disokong oleh kebimbangan terhadap kekurangan bekalan getah asli (NR) akibat cuaca buruk di
negara-negara pengeluar.
“Hujan lebat akibat tekanan tropika dijangka melanda kawasan pengeluar getah utama di Asia Tenggara dari 20 hingga 22 Julai, dengan agensi meteorologi Thailand memberi amaran berkenaan banjir kilat yang boleh mengganggu aktiviti menoreh getah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata daya tahan ekonomi Amerika Syarikat (AS), yang didorong oleh data ekonomi AS yang memberangsangkan, turut mendorong prestasi getah.
“Jualan runcit AS meningkat sebanyak 0.6 peratus pada Jun dan tuntutan pengangguran berkurangan kepada paras terendah dalam tiga bulan, menandakan perbelanjaan pengguna yang kukuh dan pasaran buruh yang stabil," katanya.
Beliau berkata bagaimanapun, kenaikan pasaran getah selanjutnya dihadkan susulan kebimbangan peniaga terhadap kesan ekonomi daripada dasar tarif perdagangan AS dan peningkatan konflik geopolitik.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 3.0 sen kepada 736.00 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 5.0 sen kepada 571.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial