Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, menjejaki kenaikan di pasaran minyak kacang soya dan minyak mentah global.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga yang lebih kukuh di komoditi yang berkaitan membantu menaikkan sentimen di pasaran minyak sayuran, sekali gus mendorong harga MSM melepasi paras RM4,300 setan.
“Memandangkan minyak kacang soya bersaing dengan minyak sawit dalam pasaran minyak makan global, kenaikan harga minyak kacang soya mendorong pembeli beralih kepada minyak sawit, sekali gus meningkatkan permintaan dan menyokong harga minyak sawit,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kenaikan harga minyak mentah cenderung untuk meningkatkan permintaan terhadap bahan api bio, yang seterusnya meningkatkan minat terhadap minyak sawit sebagai bahan mentah.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 setan dan paras rintangan pada RM4,450 setan,” kata Ng.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos meningkat RM124 kepada RM4,262 setan, September 2025 naik RM129 kepada RM4,309 setan dan Oktober 2025 melonjak RM105 kepada RM4,315 setan.
Kontrak November 2025 menokok RM88 kepada RM4,305 setan, Disember 2025 bertambah RM77 kepada RM4,290 setan dan kontrak Januari 2026 meraih RM70 kepada RM4,275 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 136,709 lot berbanding 119,798 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 237,735 kontrak berbanding 232,699 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan meningkat RM120 kepada RM4,290 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial