KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia menokok sebanyak 0.33 peratus dipacu oleh minat risiko yang lebih ketara ketika lebih banyak pelabur kembali aktif selepas cuti akhir tahun.
Pembelian itu melibatkan saham wajaran tinggi seperti IHH Healthcare, CIMB Group dan Press Metal.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.65 mata kepada 1,675.41 berbanding paras penutup Jumaat lepas pada 1,669.76.
Indeks FBM KLCI itu dibuka lebih rendah pada 1,669.08.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 518 berbanding 435 manakala 503 lain tidak berubah, sebanyak 1,199 tidak diniagakan dan 17 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.48 bilion saham bernilai RM1.15 bilion.
Sebelum ini, indeks utama itu susut kepada 1,669.76 mata berikutan aktiviti pengambilan untung dan kerugian dicatatkan oleh CIMB (-15 sen) dan IHH (-15 sen) namun kembali melantun selepas minat belian muncul semula.
Saham wajaran tinggi menyaksikan IHH naik 12 sen kepada RM8.72, CIMB Group meraih 15 sen kepada RM8.25, Press Metal naik 10 sen kepada RM7.15 manakala Maybank dan Public Bank menambah empat sen kepada RM10.48 dan RM4.53.
Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya menjangkakan sentimen pasaran berkemungkinan menjadi negatif dalam masa terdekat berikutan perkembangan geopolitik membabitkan Venezuela.
Bagaimanapun, melangkaui kebimbangan berkaitan faktor luaran, kempen seperti Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka memberi manfaat kepada pengguna, pelancongan serta sektor unit amanah pelaburan hartanah.
Bagi kaunter paling aktif, Insights Analytics naik 33 sen kepada RM1.46, Tanco tidak berubah pada RM1.18, Zetrix AI susut setengah sen kepada 80.5 sen, Pharmaniaga tidak berubah pada 28 sen dan Capital A meraih 1.5 sen kepada 42.5 sen.
Selain itu, kaunter paling untung didahului oleh Hong Leong Financial Group yang melonjak 44 sen kepada RM19.42, Kuala Lumpur Kepong menokok 18 sen kepada RM19.98, Dutch Lady meraih 18 sen kepada RM31.34, Malayan Cement meningkat 17 sen kepada RM7.96 dan Hong Leong Bank menambah 16 sen kepada RM22.44.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas melonjak 61.61 mata kepada 12,318.06, Indeks FBM Top 100 menambah 59.70 mata kepada 12,118.36 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 39.71 mata kepada 12,106.21.
Indeks FBM Mid 70 menokok 168.33 mata kepada 17,020.80 dan Indeks FBM ACE naik 1.36 mata kepada 4,924.63.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 160.01 mata kepada 19,750.0, Indeks Tenaga naik 2.99 mata kepada 769.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 1.70 mata kepada 173.86 manakala Indeks Perladangan meraih 6.20 mata kepada 8,277.29.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial