Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan prestasi tinggi semasa awal dagangan pada Isnin menjejaki kenaikan Wall Street pada minggu lepas, apabila sentimen pelabur yang bertambah baik meningkatkan minat belian.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.99 mata atau 0.06 peratus kepada 1,687.53 daripada 1,686.54 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks itu dibuka 0.53 mata lebih tinggi kepada 1,687.07.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 210 berbanding 80 manakala 330 kaunter tidak berubah, 2,030 kaunter tidak diniagakan dan 55 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 121.35 juta saham bernilai RM57.16 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen di Wall Street dirangsang oleh data buruh Amerika Syarikat yang positif, yang menunjukkan kadar pengangguran turun kepada 4.4 peratus berbanding 4.6 peratus sebelum ini.
Beliau berkata di peringkat domestik, indeks penanda aras pasaran dijangka mencatatkan julat 1,680 hingga 1,695 hari ini, selepas melonjak melepasi paras 1,680 minggu lepas susulan minat belian yang kukuh pada minit-minit terakhir dagangan.
Tanda-tanda pembelian oleh pelabur asing mula muncul pada Jumaat lepas, dan jika berterusan, keadaan itu berpotensi mendorong indeks melepasi paras 1,700 dalam tempoh terdekat, katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH masing-masing kekal pada RM10.86 dan RM8.53, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.56, CIMB naik satu sen kepada RM8.16 dan Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM13.58.
Antara saham paling aktif, Zetrix AI naik 1.5 sen kepada 84.5 sen, VS Industry meningkat setengah sen kepada 49.5 sen, manakala TWL, MMAG dan Dagang Nexchange masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, 6.5 sen dan 35 sen.
Kalangan saham paling untung, Malaysian Pacific dan Hong Leong Bank masing-masing melonjak 22 sen kepada RM33.52 dan RM23.28 manakala United Plantation, Hong Leong Financial Group dan Tradeplus Shariah Gold masing-masing naik 14 sen kepada RM33.46, RM19.88 dan RM5.71.
Bagi saham paling rugi, MISC merosot 10 sen kepada RM7.70, Hong Leong Industries dan Edaran masing-masing susut enam sen kepada RM16.58 dan RM1.13 manakala Vstecs turun lima sen kepada RM3.95 dan Vitrox menguncup tiga sen kepada RM4.66.
Sementara itu, dagangan saham IJM Corporation Bhd dan Sunway Bhd digantung atas permintaan syarikat, berkuat kuasa pukul 9.00 pagi hari ini, sementara menunggu pengumuman.
Pada masa sama, dagangan waran berstruktur berkaitan Sunway dan IJM turut digantung, menurut kenyataan kedua-duanya secara berasingan kepada Bursa Malaysia.
Bagi pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 16.48 mata kepada 12,480.99, Indeks FBM Top 100 naik 14.60 mata kepada 12,266.85, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 27.74 mata kepada 12,275.65.
Indeks FBM Mid 70 meningkat 54.03 mata kepada 17,503.28, manakala Indeks FBM ACE naik 18.90 mata kepada 5,020.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 18.61 mata kepada 20,061.56, Indeks Tenaga naik 3.40 mata kepada 748.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.73 mata kepada 174.06, dan Indeks Perladangan meningkat 17.20 mata kepada 8,507.78.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial