PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Terus Catat Aliran Meningkat, Indeks Komposit Kekal Di Atas 1,700

21/01/2026 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia meneruskan kenaikan sehingga tengah hari pada Rabu, kekal melepasi paras 1,700 apabila disokong oleh minat belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran serantau merekodkan prestasi bercampur-campur.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.97 mata atau 0.18 peratus kepada 1,702.03 daripada 1,699.06 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka 4.25 mata lebih rendah kepada 1,694.81 dan bergerak antara 1,693.95 hingga 1,703.30 sepanjang sesi pagi.

Lingkungan pasaran kekal hambar, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 442 berbanding 416, manakala 534 kaunter tidak berubah, 1,292 kaunter tidak diniagakan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.64 bilion unit bernilai RM1.20 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan susulan prestasi semalaman Wall Street yang kurang memberangsangkan, bursa tempatan dijangka turut mengikut rentak yang sama.

“Bagaimanapun, kami kekal positif bahawa peluang pelaburan dari segi perkhidmatan sokongan  semakin banyak dalam rantaian nilai pusat data.

“Pencawang, serta utiliti bawah tanah dan atas tanah, menjadi tumpuan memandangkan projek yang dirancang kekal positif,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM11.10, Public Bank dan IHH masing-masing naik satu sen kepada RM4.73 dan RM8.42, manakala CIMB menambah tiga sen kepada RM8.20. Tenaga Nasional pula tidak berubah pada RM13.80.

Antara saham aktif, Velesto dan Tanco masing-masing naik satu sen kepada 29 sen dan RM1.29, manakala SBS Nexus, SMRT dan MMAG masing-masing tidak berubah pada 24 sen, 19 sen dan lima sen.

Kaunter paling untung, Malaysian Pacific, Fraser & Neave dan Dutch Lady masing-masing meningkat 44 sen kepada RM34.00, RM36.16 dan RM31.72 manakala Hong Leong Financial menokok 34 sen kepada RM20.62 dan Petronas Gas naik 32 sen kepada RM18.74.

Bagi kaunter paling rugi, United Plantations susut 56 sen kepada RM30.50, Nestle turun 50 sen kepada RM115.50, KL Kepong dan Batu Kawan masing-masing kurang 18 sen kepada RM20.02 dan RM20.12, manakala Malayan Cement menguncup 16 sen kepada RM7.40.

Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 14.46 mata kepada 12,529.66, Indeks FBM Top 100 naik 13.22 mata kepada 12,325.77, Indeks FBM ACE menambah 16.04 mata kepada 4,897.28, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 12.49 mata kepada 12,205.20, manakala Indeks FBM Mid 70 turun 18.85 mata kepada 17,378.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 70.55 mata kepada 20,515.11, Indeks Tenaga susut 3.34 mata kepada 767.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.11 mata kepada 173.39, manakala Indeks Perladangan turun 10.21 mata kepada 8,320.88.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan