PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Tinggi Ketika Kebimbangan Mengenai Tarif AS-EU, Tekanan Bon Kerajaan Jepun Reda

21/01/2026 08:03 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS berikutan sentimen pasaran semakin baik di tengah-tengah kebimbangan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas Kesatuan Eropah (EU) dan risiko geopolitik manakala tekanan di pasaran Bon Kerajaan Jepun (JGB) pula mereda.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0445/0495 berbanding dolar AS daripada 4.0530/0580 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan menerima sokongan kukuh berbanding dolar AS, meningkat 0.14 peratus menjelang akhir dagangan.

“Sentimen mengelak risiko masih ketara apabila Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.04 peratus kepada 98.59 mata manakala harga emas semasa meningkat 1.99 peratus kepada US$4,858.11 bagi setiap auns,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata setakat ini ringgit telah berupaya berdepan ketidaktentuan pasaran dengan baik memandangkan data makroekonomi terus menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia.

“Keadaan ini mengukuhkan jangkaan bahawa kadar dasar semalaman (OPR) akan dikekalkan tanpa perubahan esok,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penjualan besar-besaran dalam pasaran JGB adalah ketara dan kesannya telah dirasai di seluruh dunia.

Beliau berkata kenaikan hasil bon Jepun memberi impak yang pantas ke pasaran global, mendorong peningkatan hasil bon di pasaran lain dan mengurangkan permintaan terhadap aset yang mudah terkesan dengan risiko.

“Di peringkat serantau, hasil JGB yang lebih tinggi adalah penting. Mata wang seperti ringgit tidak mengalami kelemahan ketara, namun momentum kenaikannya terhenti apabila permintaan terhadap bon di peringkat global menyusut dan pelabur lebih berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5598/5631 daripada 2.5696/5729 pada Selasa, naik berbanding pound Britain kepada 5.4237/4304 daripada 5.4618/4686 sebelumnya dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7337/7395 daripada 4.7530/7588 semalam.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1502/1543 daripada 3.1602/1646 pada Selasa, menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0086/0301 daripada 13.0397/0629 dan lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 238.7/239.3 daripada 239.0/239.4 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia susut berbanding peso Filipina kepada 6.82/6.83 daripada 6.81/6.83 semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan