PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Kekal Mengukuh Pada 3.96 Berbanding Dolar AS dalam Persekitaran Campur Tangan Terhadap Mata Wang Oleh AS Dan Jepun

27/01/2026 09:26 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka kekal mengukuh pada 3.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini dalam persekitaran kemungkinan berlaku campur tangan terhadap mata wang oleh pihak berkuasa AS dan Jepun semakin memuncak.

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9650/9750 berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670 ketika ditutup semalam, kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei, 2018.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka terus meningkat hari ini berikutan dolar AS yang semakin lemah.

“Yen Jepun meningkat dengan kukuh berbanding dolar AS apabila perbincangan mengenai kemungkinan berlaku campur tangan oleh pihak berkuasa semakin memuncak.

“Pada masa sama, harga emas semerta terus naik sebanyak 1.04 peratus kepada AS$5,060.64 setiap auns troy. Semua ini telah diterjemahkan kepada dolar AS yang lebih lemah dengan indeks dolar AS (DXY) susut 0.57 peratus kepada 97.040 mata,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bahawa memandangkan ringgit meneruskan aliran menaiknya semalam, mata wang tempatan itu dijangka terus meningkat hari ini dalam persekitaran dolar AS yang lemah.

Ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.4217/4354 daripada 5.4166/4241 ketika ditutup semalam, turun berbanding euro kepada 4.7076/7195 daripada 4.6999/7064, dan naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5683/5750 daripada 2.5783/5820.

Unit tempatan melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1201/1282 daripada 3.1242/1288, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.6953/7343 daripada 12.7441/7679, menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 236.2/236.9 daripada 236.0/236.4 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.72/67.4 daripada 6.72/6.73 sebelumnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan