PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Susulan Aktiviti Pengambilan Untung

29/01/2026 10:08 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis apabila pelabur mengambil untung susulan kenaikan sebelum ini serta menilai kesan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) untuk mengekalkan kadar faedah.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.39 mata kepada 1,747.10 selepas dibuka rendah 3.18 mata pada 1,753.31 berbanding paras penutup 1,756.49 pada Rabu.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 196 berbanding 146, manakala 352 kaunter tidak berubah. Sebanyak 2,025 kaunter tidak diniagakan dan 109 digantung.

Jumlah dagangan mencecah 171.45 juta saham bernilai RM133.98 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatat prestasi bercampur selepas Fed mengekalkan kadar faedah, dengan mengambil kira daya tahan ekonomi yang semakin baik serta kadar pengangguran yang stabil.

Di peringkat domestik, beliau berkata penyusutan FBM KLCI merupakan pembetulan sihat susulan prestasi kukuh sejak awal tahun.

"Bagaimanapun, kami berharap pemulihan pasaran tidak mengambil masa yang lama kerana ia boleh menjejaskan momentum pasaran semasa," katanya kepada Bernama.

Beliau turut berkata aliran keluar dana asing dari Indonesia baru-baru ini susulan potensi penurunan penarafan MSCI mungkin mendorong pelabur asing melihat Malaysia sebagai alternatif yang lebih menarik.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,750 hingga 1,770 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing susut 12 sen kepada RM11.68 dan RM8.90. Public Bank merosot empat sen kepada RM4.91, CIMB turun tiga sen kepada RM8.62, manakala Tenaga Nasional berkurang dua sen kepada RM14.06.

Dalam senarai saham aktif, Velesto Energy turun setengah sen kepada 30 sen, DXN Holdings susut 1.5 sen kepada 49.5 sen dan TWL Holdings naik setengah sen kepada 2.5 sen, manakala Hong Seng Consolidated dan Niche Capital Emas tidak berubah masing-masing pada setengah sen dan 11.5 sen.

Antara saham paling untung ialah Tradeplus Shariah Gold Tracker yang naik 26 sen kepada RM6.55; Panasonic Manufacturing Malaysia meningkat 13 sen kepada RM7.396; Kuala Lumpur Kepong naik 12 sen kepada RM19.80; dan Ta Ann menambah 10 sen kepada RM4.65.

Saham mencatat penurunan tertinggi pula termasuk Nestle yang susut 20 sen kepada RM113.30; Telekom Malaysia dan RHB Bank masing-masing turun enam sen kepada RM7.85 dan RM8.26; serta IOI Corporation merosot lima sen kepada RM4.06.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 50.08 mata kepada 12,607.10, Indeks FBM Emas susut 46.92 mata kepada 12,795.47 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 34.02 mata kepada 12,362.25.

Sementara itu, Indeks FBM ACE meningkat 12.69 mata kepada 4,759.45 dan Indeks FBM Mid 70 naik 10.07 mata kepada 17,573.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 121.93 mata kepada 21,385.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.32 mata kepada 177.69 dan Indeks Perladangan merosot 38.66 mata kepada 8,406.12, manakala Indeks Tenaga meningkat  0.12 mata kepada 757.55.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan