PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Berikutan Sentimen Domestik Yang Stabil

12/02/2026 09:39 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), walaupun dolar AS lebih kukuh, memandangkan keyakinan berterusan terhadap asas ekonomi Malaysia menyokong mata wang tempatan.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9100/9230 berbanding dolar AS daripada paras 3.9110/9170 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi domestik yang menggalakkan dan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap prospek makroekonomi Malaysia terus menyokong permintaan mata wang tempatan.

“Titik data yang kukuh untuk ekonomi Malaysia juga akan mengekalkan minat terhadap ringgit. Oleh itu, jangkaan pasangan dolar AS-ringgit akan bergerak dalam julat RM3.91 hingga RM3.93 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa data pasaran buruh AS yang lebih kukuh daripada jangkaan telah meningkatkan Indeks Dolar AS (DXY) sebanyak 0.13 peratus kepada 96.920 mata, mencerminkan daya tahan ekonomi AS.

“Oleh itu, Rizab Persekutuan (Fed) AS cenderung untuk mengekalkan kadar faedah yang stabil memandangkan kadar inflasi berkemungkinan kekal melebihi sasaran dua peratus.

“Peniaga mungkin berhasrat untuk mengambil sedikit keuntungan disebabkan oleh pengumuman gaji bukan ladang (NFP) AS,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata NFP AS berada lebih tinggi daripada jangkaan pada 130,000 pada Januari berbanding anggaran konsensus sebanyak 66,000, manakala kadar pengangguran AS menurun kepada 4.3 peratus daripada 4.4 peratus dan kadar penyertaan tenaga buruh AS meningkat kepada 62.5 peratus daripada 62.4 peratus.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5514/5600 daripada 2.5527/5566 ketika ditutup pada Rabu, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3266/3443 daripada 5.3561/3643 semalam dan melonjak berbanding euro kepada 4.6431/6586 daripada 4.6611/6683 sebelumnya.

Ringgit menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 232.9/233.7 daripada 233.0/233.4 ketika ditutup pada Rabu, naik berbanding baht Thailand kepada 12.5728/6227 daripada 12.5808/6062 semalam dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0980/1086 daripada 3.0990/1040 sebelumnya.

Dalam pada itu, ia diniagakan tidak berubah berbanding peso FIlipina pada 6.71/6.73 daripada 6.71/6.72 pada penutupan pada Rabu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan