Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjelang pengumuman data utama AS dan perkembangan selanjutnya mengenai rundingan nuklear AS-Iran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data pasaran buruh AS akan menjadi tumpuan dengan pemantauan yang rapi terhadap data pekerjaan bukan perladangan (NFP) dan kadar pengangguran.
Selain itu, AS dan Iran dijadual mengadakan satu lagi pusingan rundingan di Vienna minggu depan selepas pegawai kedua-dua negara baru-baru ini mengadakan pertemuan di Geneva, Switzerland bagi pusingan ketiga rundingan yang berakhir tanpa persetujuan.
“Selain itu, kalangan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia akan menetapkan Kadar Dasar Semalaman pada 5 Mac, dengan kebanyakan ahli ekonomi menjangka tiada perubahan dalam kadar dasar,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, beliau berpandangan bahawa mata wang tempatan itu akan diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan USD/MYR berkemungkinan kekal antara RM3.88 dan RM3.90.
Bagi perbandingan secara mingguan, ringgit mengakhiri minggu ini dengan kukuh berbanding dolar AS apabila ditutup kepada 3.8910/8960 berbanding 3.8995/9055 Jumaat lepas.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.
Ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 2.4930/4963 daripada 2.5092/5132, naik berbanding pound Britain kepada 5.2470/2538 daripada 5.2511/2591 tetapi menyusut berbanding euro kepada 4.5898/5957 daripada 4.5882/5952 minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0742/0784 daripada 3.0724/0774, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 231.7/232.2 daripada 230.8/231.3, merosot berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.76 daripada 6.70/6.72 dan susut berbanding baht Thai kepada 12.5153/5370 daripada 12.4952/5216 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial