BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Susut Di Bawah Paras 1,700 Berikutan Ketidaktentuan Global Jejas Saham

13/03/2026 08:08 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat, menyusut di bawah paras psikologi utama 1,700 mata memandangkan perkembangan geopolitik terus mempengaruhi sentimen pasaran, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.16 mata atau 0.71 peratus kepada 1,698.85 berbanding 1,711.01 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 9.07 mata kepada 1,701.94, dan bergerak dalam julat 1,696.04 hingga 1,709.05 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 627 berbanding 440, sebanyak 541 kaunter tidak berubah, 1,081 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan susut kepada 2.87 bilion unit bernilai RM3.45 bilion berbanding 3.01 bilion unit bernilai RM3.53 bilion pada Khamis.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketegangan yang meningkat di Asia Barat mendorong harga minyak mentah Brent kembali menghampiri paras US$100 setong.

Menurutnya ini kali kedua harga minyak melepasi paras itu pada minggu ini sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa aliran bekalan tenaga melalui Selat Hormuz mungkin terjejas.

“Konflik ini tidak menunjukkan isyarat akan reda. Pemimpin tertinggi baharu Iran Mojtaba Khamenei memberi isyarat bahawa Tehran mungkin berusaha untuk memastikan selat itu terus ditutup dan mungkin memperluas konflik ke kawasan lain sekiranya serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel berterusan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata Presiden AS Donald Trump mengulangi pendirian untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear kekal sebagai keutamaan strategik, walaupun tindakan itu boleh menyebabkan harga minyak menjadi lebih tinggi.

Setakat ini, minyak mentah Brent susut 0.14 peratus kepada US$100.30 setong.

Mohd Sedek berkata di dalam negara, kelemahan dalam kaunter perbankan wajaran tinggi, yang menyumbang kira-kira 44 peratus daripada wajaran indeks FBM KLCI, muncul sebagai faktor utama yang menjejaskan prestasi keseluruhan pasaran.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan ditutup rendah seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lemah berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat terus menjejaskan sentimen pelabur.

“Berikutan kapal tangki minyak terkandas di Teluk, minyak mentah Brent kekal melebihi US$100 setong. Ketika Iran meningkatkan serangan di seluruh rantau itu dan Mojtaba berikrar untuk terus menutup Selat Hormuz, pelabur semakin bimbang terhadap konflik yang berpanjangan serta harga minyak yang kekal tinggi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan akan memastikan rakyat terus menerima bantuan melalui penyasaran subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95, selain mengekalkan harga petrol dan diesel walaupun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat

Amir Hamzah berkata subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.

“Beban ini masih boleh ditampung kerajaan kerana kita telah melaksanakan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tempoh tiga tahun Kerajaan MADANI memerintah,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur mungkin memberi perhatian kepada pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat AS yang akan dikeluarkan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM11.32, Public Bank menyusut dua sen kepada RM4.79, Tenaga Nasional rendah 20 sen kepada RM14.20, IHH Healthcare berkurangan 27 sen kepada RM8.83 manakala CIMB menambah satu sen kepada RM8.0.

Bagi saham paling aktif, Jiankun International susut dua sen kepada 4.5 sen, Zetrix AI rendah 3.5 sen kepada 75 sen, V.S. Industry susut 1.5 sen kepada 29 sen, Capital A menyusut 2.5 sen kepada 40.5 sen manakala Tanco Holdings meningkat dua sen kepada RM1.50.

Bagi kaunter paling aktif, Jiankun International susut dua sen kepada 4.5 sen, Zetrix AI rendah 3.5 sen kepada 75 sen, V.S. Industry berkurangan 1.5 sen kepada 29 sen, Capital A susut 2.5 sen kepada 40.5 sen manakala Tanco Holdings naik dua sen kepada RM1.50.

Antara kaunter paling untung adalah Gas Malaysia yang melonjak 24 sen kepada RM5.28, Petronas Chemicals meningkat 13 sen kepada RM4.75, Concrete Engineering Products naik 16 sen kepada RM1.35, Pineapple Resources melonjak 13 sen kepada 73 sen dan Dutch Lady Milk Industries meningkat 18 sen kepada RM32.

Bagi kaunter paling rugi, Malayan Cement merosot RM1.33 kepada RM6.15, Nestle turun RM1.70 kepada RM102.40, United Plantations susut 54 sen kepada RM32.56, Hong Leong Bank menyusut 52 sen kepada RM22.40 dan Petronas Dagangan merosot 68 sen kepada RM21.26.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menyusut 96.64 mata kepada 12,249.42, Indeks FBM Emas merosot 95.97 mata kepada 12,405.83, Indeks FBM 70 rendah 174.58 mata kepada 17,031.94, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 95.17 mata kepada 12,129.92, dan Indeks FBM ACE menyusut 25.97 mata kepada 4,375.80.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 228.85 mata kepada 20,418.26, Indeks Perladangan menyusut 60.04 mata kepada 8,444.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.91 mata kepada 175.27 manakala Indeks Tenaga meningkat 1.36 mata kepada 797.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama rendah kepada 1.71 bilion unit bernilai RM3.24 bilion daripada 1.79 bilion unit bernilai RM3.30 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 895.71 juta unit bernilai RM109.71 juta daripada 837.99 juta unit bernilai RM106.19 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 255.45 juta unit bernilai RM98.65 juta daripada 380.017 juta unit bernilai RM123.66 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 219.60 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (362.43 juta), pembinaan (161.74 juta), teknologi (156.68 juta), perkhidmatan kewangan (136.48 juta), hartanah (212.97 juta), perladangan (37.27 juta), amanah pelaburan hartanah (29.58 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (152.51 juta), penjagaan kesihatan (48.68 juta), telekomunikasi dan media (48.68 juta), pengangkutan dan logistik (27.51 juta), utiliti (37.79 juta), dan amanah perniagaan (301,500).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan