Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka didagangkan secara berhati-hati minggu depan ketika pasaran memantau ketidaktentuan berikutan konflik Asia Barat yang berpanjangan dan penutupan Selat Hormuz, kata pakar industri Denis Low.
Beliau berkata aktiviti pembelian minggu depan akan berasaskan pengisian semula stok dan permintaan getah, manakala harga dijangka berlegar dalam julat kecil dengan kecenderungan positif.
“Minggu hadapan adalah minggu yang sukar dengan ketidaktentuan berlaku di mana-mana sahaja. Ramalan boleh menjadi tidak relevan jika Selat Hormuz benar-benar ditutup,” katanya.
“Dari segi bekalan getah, pengeluaran getah telah menjadi perlahan akibat musim daun luruh. Keadaan ini mungkin berterusan sehingga akhir Mac atau awal April. Walau apa pun, kekurangan bekalan yang berlaku akan diimbangi oleh permintaan lebih perlahan disebabkan konflik geopolitik ketika ini,” katanya kepada Bernama.
Sependapat dengan Denis,Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah minggu depan mungkin didagangkan dalam julat yang kecil, serta sensitif terhadap sebarang berita mengenai peredaan dalam konflik di Asia Barat.
MARGMA berkata konflik yang berterusan menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak dan inflasi berterusan dalam bahan mentah.
“Kos pengangkutan, logistik dan insurans dijangka akan meningkat lagi kerana kesesakan pelabuhan juga menyebabkan kelewatan penghantaran.
"Permintaan untuk getah asli mungkin melonjak untuk menggantikan getah sintetik. Bagaimanapun, minat belian untuk getah juga berkurangan kerana jualan automotif China telah menurun sejak Februari 2026," katanya.
MARGMA juga menjangkakan harga getah akan dipengaruhi oleh niaga hadapan getah serantau, turun naik mata wang dan ketidaktentuan harga minyak mentah.
Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 naik 2.5 sen kepada 785 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal menokok kepada 665 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial