BERITA PRU15   MCMC diminta kenal pasti kawasan ada gangguan komunikasi di Padang Serai | PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | 
POLITIK

PN kekal pendirian tak sertai kerajaan, main peranan pembangkang berwibawa

25/11/2022 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH), walaupun selepas ditawarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan pimpinan beliau.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas tawaran berkenaan namun menolaknya atas semangat menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen.

“PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada sidang media sulung perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat ini, akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap dalam sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di Putrajaya pagi tadi pula, Anwar berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan