BERITA PRU15   PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’ | 
POLITIK

Ahli MT diberi peluang suarakan pandangan dalam Mesyuarat Khas Rabu lepas

25/11/2022 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi ruang seluasnya kepada semua ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, untuk memberikan pandangan masing-masing pada Mesyuarat Khas MT UMNO, Rabu lepas.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya berkata adalah tidak wajar, jika terdapat ahli MT melaporkan dalam media sosial apa jua petikan yang dibuat di luar konteks dan tidak benar mengenai mesyuarat khas itu kerana ia melanggar tatasusila mesyuarat.

Beliau berkata Mesyuarat MT UMNO itu juga berlangsung selama hampir empat jam berakhir jam 1 pagi, dan berjalan dalam suasana yang tenang bermula dengan sumpah kerahsian beberapa ahli yang baharu dilantik.

“Seramai 31 ahli telah berucap...kenyataan media yang dikeluarkan atas nama saya (pada Rabu) juga telah dibacakan terlebih dahulu dalam mesyuarat itu untuk dipersetujui,” katanya dalam kenyataan di Twitter beliau hari ini.

Ahmad berkata pelantikan baharu itu melibatkan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah sebagai ahli MT, Ketua UMNO Bahagian Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Dalam kenyataan pada Rabu, Ahmad berkata UMNO menyokong untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).

Katanya mesyuarat tersebut juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang dimasyhurkan Seri Paduka.

Mesyuarat MT UMNO turut memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan