POLITIK > BERITA

PRK SUNGAI BAKAP: SEMUA PARTI KOMPONEN BN SETUJU BANTU KEMPEN

08/06/2024 10:17 PM

JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) berterima kasih dengan komitmen semua parti komponen dan Friends of BN yang akan turun membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata komitmen itu turut dinyatakan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan nanti.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semangat BN yang ditunjukkan oleh semua komponen. Presiden MCA dan kepimpinan MCA yang lain telah beri komitmen untuk bantu calon di Sungai Bakap. Kami akan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen BN Negeri Johor 2024 dan Sambutan Ulangtahun Jubli Emas BN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Wee yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Johor R Vidyananthan.

Sementara itu, Wee berkata situasi di PRK Sungai Bakap berbeza dengan PRK di Kuala Kubu Baharu dan MCA bersedia untuk membantu kempen kali ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PAS pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan