POLITIK > BERITA

AHMAD ZAHID TERBUKA DUA JAWATAN TERTINGGI UMNO DIPERTANDING

14/07/2024 07:27 PM

MUAR, 14 Julai (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi dipertanding semasa pemilihan parti itu pada 2026.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada perbincangan dan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

"Mengikut Perlembangaan UMNO, pemilihan dalam parti akan diadakan setiap tiga tahun apabila cukup jeda waktu nanti. Ada klausa pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan, jadi ia bergantung kepada keputusan MT dan Perhimpunan Agung UMNO, kita akan patuhi Perlembagaan dan peraturan UMNO. 

"Saya terbuka dalam perkara ini, apa yang penting UMNO harus dipertahan dan kekal releven. Pemilihan parti untuk memantapkan dan memperkasakan parti tetapi sekarang jangan fikir soal pertandingan, yang penting perkukuhkan UMNO dahulu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di sini hari ini. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengulas mengenai tiga usul yang diluluskan oleh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara semalam termasuk gesaan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertanding pada pemilihan akan datang.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau sedia mempertahankan jawatannya jika ia dipertanding pada pemilihan akan datang.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pihaknya tidak mahu UMNO kehilangan negeri Johor selaku deposit tetap seperti yang berlaku di Sabah.

“Saya berasa sangat dekat dengan Johor apabila kita mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Negeri lepas dengan kemenangan dua pertiga sekali gus menubuhkan kerajaan negeri UMNO dan BN.

"Kehilangan Sabah berpunca daripada situasi politik dan saya harap di Johor masalah dapat diselesaikan. Saya yakin (Menteri Besar) Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus menjadikan Johor sebagai kubu kuat UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya mengingatkan ahli UMNO yang mahu jawatan dalam parti agar menggunakan saluran yang betul.

"Diam tak diam sudah tujuh tahun saya menjadi Presiden UMNO selepas diberikan tanggungjawab oleh Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Saya dah rasa semua jawatan, jangan naik pijak orang, kalau naik pijak orang, tunggulah masa orang pijak kita pula," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan