POLITIK > BERITA

PRK Nenggiri: Pengundi Perlu Ambil Peluang, Beri Isyarat - Bung Moktar

07/08/2024 04:37 PM

GUA MUSANG, 7 Ogos (Bernama) -- Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu mengambil peluang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu untuk memberi isyarat kepada kerajaan negeri pimpinan PAS, bahawa mereka mahukan perubahan ke arah kepimpinan yang lebih baik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau yakin sekiranya keputusan PRK itu memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, hal itu akan mampu mengubah polemik politik negeri itu secara keseluruhan.

"Kita (BN) berhadapan dengan masalah selagi Kelantan ditadbir oleh kerajaan negeri (PAS)...seperti isu tanah. Apa pun pembangunan yang kerajaan Persekutuan bawa apabila tiada tanah ia tidak dapat dilaksanakan.

"Oleh itu, untuk merubah polemik politik di Kelantan perlu bermula di DUN Nenggiri, jika menang baru kita boleh buat strategi pembangunan di Kelantan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama Mohd Azmawi Fikri beramah mesra dengan pengundi di Kampung Jeram Tekoh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yakin Mohd Azmawi Fikri, yang turut dikenali sebagai Awie, boleh menyelesaikan masalah dihadapi rakyat di DUN Nenggiri berdasarkan kewibawaannya yang sudah lama berkhidmat dengan penduduk di kawasan terbabit.

"Saya yakin masalah akan dapat diselesaikan Mohd Azmawi Fikri sedikit demi sedikit kerana perlu ingat rakyat memerlukan sentuhan daripada wakil rakyat," katanya.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi susulan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

PRK itu yang bakal berlangsung Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri mewakili Kerajaan Perpaduan berdepan wakil Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan