POLITIK > BERITA

Gagasan Rakyat Dianggotai Hampir 300,000 Ahli - Hajiji

09/08/2024 09:20 PM

KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kini dianggotai hampir 300,000 ahli dan dijangka meningkat menjelang perhimpunan agung parti berkenaan pada November ini, kata Presidennya Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah sehubungan itu meminta semua bahagian dan cawangan parti berkenaan untuk terus mempergiat usaha menambah ahli baharu.

“Hal ini penting supaya Gagasan Rakyat terus kuat dan kekal relevan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan bertujuan membincangkan persediaan untuk mengadakan mesyuarat peringkat bahagian parti berkenaan.

“Mesyuarat bahagian akan bermula pada 17 Ogos ini hingga akhir September. Kita harap mesyuarat ini berjalan lancar dan kita mahu semua bahagian menyempurnakan mesyuarat masing-masing kerana mesyuarat cawangan telah pun kita telah adakan sebelum ini,” katanya.

Menjawab pertanyaan pemberita tentang langkah menjalin kerjasama dengan parti lain, Hajiji berkata Gagasan Rakyat akan terus bekerjasama dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita ada banyak parti dalam kerajaan kini dan apa yang kita mahu adalah kerjasama untuk perpaduan rakyat dan memajukan negeri ini. Jangan kita gaduh-gaduh, mari bersama-sama membangunkan Sabah,” katanya.

Mengenai kemungkinan bekerjasama dengan UMNO, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata dalam politik tiada perkara yang mustahil dan GRS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi membangunkan Sabah untuk rakyatnya.

Selain Gagasan Rakyat, GRS turut dianggotai Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Maju Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Parti Liberal Demokratik, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan