POLITIK > BERITA

Ku Li: Rekod PAS gambarkan tawaran PRK Nenggiri tidak realistik

14/08/2024 06:59 PM

GUA MUSANG, 14 Ogos (Bernama) -- Veteran UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menzahirkan kritikan terhadap PAS dan menganggap 46 tawaran yang diumum parti itu pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mungkin hanya sekadar ‘janji kosong.’ 

Beliau mendakwa ini kerana PAS memiliki rekod tidak menunaikan janji sejak manifesto pertama mereka pada 1959.

"Kalau tengok dulu pun mereka tak jawab. Dulu janji nak wujudkan negara kebajikan pun tak ada," kata bekas Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada Isnin lepas, PN melancarkan 'KHIDMAT' yang menggariskan tujuh teras utama dengan 46 tawaran sekiranya menang PRK itu manakala BN mengumumkan tidak akan melancarkan manifesto dengan pelbagai janji sebaliknya memberikan satu tawaran iaitu komitmen wakil rakyat bagi mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.

-Ku Li, yang juga Pengarah PRK berkenaan untuk BN, berkata keputusan itu tidak dilakukan secara perseorangan tetapi telah dirunding secara bersama.

“Kami rasa PRK ini nak isi satu kerusi, jadi tak perlulah kita hebahkan dengan pelbagai janji yang mungkin tak boleh ditunaikan kerana kerajaan negeri sudahpun dibentuk,” katanya sambil menambah strategi kempen kali ini juga tidak melibatkan ceramah secara besar-besaran.

Beliau berkata pihaknya berpandangan tidak perlu menyusahkan pengundi untuk meninggalkan rumah masing-masing dan hadir mendengar ceramah politik.

"Orang boleh buka telefon bimbit, boleh tengok apa yang kita cuba jelaskan… Mereka semua setuju dengan pandangan itu, sebab itu kita tak ada ceramah besar-besaran, orang lain nak buat, itu dia punya hal tetapi saya ada minta Wanita, Puteri dan Pemuda kalau boleh ziarah rumah pengundi seberapa banyak yang boleh,” katanya.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun setelah keahlian bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan