POLITIK > BERITA

Muhyiddin Tiada SD Mencukupi Untuk Jadi PM Berikutan Terdapat Pertindihan - Anwar

23/08/2024 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa beliau mempunyai 115 SD adalah tidak benar.

Anwar berkata ia berikutan terdapat pertindihan apabila beberapa ahli parlimen menandatangani SD sehingga dua atau tiga kali, menyebabkan Muhyiddin tiada sokongan Akuan Bersumpah (SD) yang mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

“Apabila kedudukan tidak jelas, Muhyiddin kata ada 115, Anwar kata ada 112, ada orang tandatangan sekali, dua kali, tiga kali. Ada parti berbeza pendapat. 

“Oleh itu, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) terpaksa buka semula dan semak untuk yakinkan diri Tuanku (Agong).

“Sebab itu dalam Perlembagaan Persekutuan, dikatakan mengikut pandangan dia (Agong) setelah melihat, kemudian Tuanku panggil sidang (Majlis) Raja-Raja untuk bincang,” katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari di Warung Gertak Merah, Kg Sungai Penchala, di sini hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara ketika itu Tan Sri Idrus Harun turut mempertikai jumlah SD berkenaan.

“Setakat saya faham pandangan Raja-Raja dan peguam negara masa itu yang dilantik oleh Muhyiddin mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah kepada budi bicara Agong,” kata Anwar.

Muhyiddin, ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini mendakwa beliau memiliki 115 SD selepas PRU15 dan menyatakan bahawa jumlah itu cukup untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Pada Rabu, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen termasuk SD berkenaan kepada polis semasa memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada 115 SD yang didakwa dimiliki Muhyiddin, 10 daripada Ahli Parlimen telah menandatangani dua SD, iaitu satu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) dan satu lagi menyokong BN. 

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira setengah jam meramah mesra dan makan tengah hari bersama penduduk setempat di warung berkenaan, sebelum menunaiman solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah Kg Sungai Penchala, di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan