POLITIK > BERITA

UMNO Harus Guna AI Untuk Lakukan Anjakan Depani Dinamik Politik - Ahmad Zahid

24/08/2024 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- UMNO harus menggunakan perkembangan teknologi terutama kecerdasan buatan (AI) dalam usaha melakukan anjakan bagi mendepani dinamik politik masa kini, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Beliau berkata parti itu perlu bersedia untuk menghadapi perkembangan teknologi kerana ia merupakan hakikat baharu dalam politik negara.

“Senario dan realiti politik telah berubah, dalam usaha melakukan anjakan, kita juga mesti sentiasa bersedia menghadapi perkembangan teknologi, dengan teknologi baharu harus didakap dan digunakan terutama teknologi AI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berkata UMNO juga bernasib baik kerana ketiga-tiga pemimpin sayap iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri telah terlebih dahulu ‘mendakap’ penggunaan teknologi digital dalam kaedah baru kepimpinan mereka.

Sementara itu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan pelaksanaan program Pemerkasaan Usahawan Wanita Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang akan diadakan di semua 191 bahagian UMNO seluruh negara.

“Sebagai menteri yang menjaga MARA, saya meluluskan," katanya sebagai respons terhadap cadangan daripada perwakilan Wanita (UMNO) yang memohon bantuan untuk usahawan wanita mengembangkan perniagaan.

Pada sidang media selepas itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO perlu melakukan perubahan dalam kerja-kerja mendekati pengundi, terutamanya dalam kalangan orang muda.

“Realitinya perubahan pendekatan perlu dilakukan, terutama dalam mendakapi teknologi baharu dalam komunikasi politik untuk kita mendekati dan menyantuni para pengundi, terutamanya pengundi muda, dengan melakukan pendekatan baharu yang selama ini mungkin kita terlepas pandang ataupun tidak memberikan fokus,” katanya.

Selain itu Ahmad Zahid berkata parti akan menyelaraskan gerak kerja antara sayap Pemuda dan Puteri bagi memfokuskan kepada pengundi-pengundi baharu.

“Khusus kepada fokus untuk pengundi-pengundi baharu atau anak-anak muda, kita merangkumkan kerjasama antara Pemuda dan Puteri supaya memberikan fokus gerak kerja yang dilakukan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk tentukan terdapat keselarasan dari segi gerak kerja. Kita yakin ini boleh dilakukan,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan