POLITIK > BERITA

PRK DUN Mahkota: Calon BN Pasti Diterima Pengundi - Zambry

02/09/2024 07:10 PM

KEPALA BATAS, 2 Sept (Bernama) -- Calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pasti merupakan calon yang dapat diterima oleh pengundi kawasan berkenaan, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengesahkan telah menerima beberapa cadangan nama untuk dipertimbangkan termasuk tiga nama daripada sayap Wanita UMNO, Pemuda dan bahagian parti itu.

Bagaimanapun beliau berkata gabungan parti itu belum memuktamadkan calon dan akan diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.

“Jadi, semua nama-nama itu akan dikumpulkan dan akan diumumkan oleh Pengerusi BN. Calon yang diputuskan itu adalah setelah diadakan perbincangan di peringkat kepimpinan.

“Mustahaknya ialah seperti mana yang kita sebutkan bahawa calon itu akan mewakili BN dan yang keduanya ialah calon yang dapat diterima oleh pengundi-pengundi di luar sana. Tentunya calon-calon yang ada di kawasan berkenaan (DUN Mahkota),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Global Trends in Engineering, Science and Technology Congress 2024 (GTEST2024) di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sayap itu telah menyerahkan tiga nama kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan menjadi calon bagi kerusi DUN Mahkota.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan