POLITIK > BERITA

Chow Terus Fokus Agenda Kerajaan Negeri, Tidak Peduli Pengkritik

07/09/2024 03:22 PM

GEORGE TOWN, 7 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Chow Kon Yeow berikrar akan terus memberikan fokus terhadap agenda pembangunankerajaan negeri itu dengan melaksanakan segala program dan projek yang dirancang, walaupun ada pihak melabelnya sebagai ‘lame-duck’ susulan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Chow berkata walaupun tanpa jawatan Pengerusi DAP negeri selepas ini, beliau tetap akan melaksanakan kewajipannya sebagai Ketua Menteri, kerana terdapat banyak projek kerajaan negeri masih di peringkat permulaan dan menunggu kelulusan, termasuk projek di bawah visi Penang2030 serta Manifesto 2023 Pulau Pinang yang perlu ditunaikan.

“Ada kenyataan bahawa dengan tak ada jawatan pengerusi negeri, saya akan seolah-olah menjadi Ketua Menteri ‘lame-duck’ (lemah). Lame-duck ini adalah konsep sistem di Amerika Syarikat apabila ada dua kumpulan politik yang besar, selalu melibatkan pengundian di dalam kongres dan sebagainya.

“Namun dalam konteks Pulau Pinang, kerajaan adalah sayap eksekutif yang teruskan dengan pelaksanaan dan jarang sekali ada keperluan untuk mendapat sokongan legislature,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Advanced Technology Equipment Cluster (ATEC) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong di sini hari ini.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu menegaskan tindakan pihak-pihak berkenaan juga tidak akan menghalang jentera kerajaan negeri di bawah pimpinannya untuk melaksanakan semua inisiatif termasuk projek persekutuan yang dirancang untuk Pulau Mutiara itu.

Rabu lepas, Chow mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti pada Konvensyen Biasa DAP di Spice Arena, Bayan Lepas 22 Sept ini.

Chow yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang kelima, mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi negeri itu pada 2018, sebelum mengangkat sumpah jawatan tersebut bagi penggal kedua pada 13 Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan