POLITIK > BERITA

PRK Mahkota: Syed Hussien Mahu Teruskan Legasi Kepimpinan Sharifah Azizah

07/09/2024 09:14 PM

KLUANG, 7 Sept (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah bertekad meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu menyifatkan Sharifah Azizah sebagai insan yang banyak berjasa kepada masyarakat DUN Mahkota sekali gus beliau mahu memastikan kerusi itu kekal menjadi milik BN.

“Allahyarham sangat berjasa (kepada masyarakat) di kawasan ini dan saya selaku calon akan meneruskan apa (inisiatif dan kerja) yang dibuat beliau,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN untuk PRK Mahkota yang dirasmikan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini. 

Ahli perniagaan berusia 40 tahun yang telah bersama UMNO lebih 20 tahun itu turut bersedia menggalas tanggungjawab mewakili suara rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Syed Hussien menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti terutama Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Kluang Datuk Md Jais Sarday kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneruskan perjuangan parti di kawasan itu. 

Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian yang berkelulusan Diploma Profesional dalam Pentadbiran dan Perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) SPACE itu aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan