POLITIK > BERITA

Kepimpinan PGRS Labuan 2024 Kekal Status Quo

10/09/2024 02:46 PM

LABUAN, 10 Sept (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bahagian Labuan mengekalkan barisan kepimpinan sedia ada bagi 2024, tanpa saingan untuk sebarang jawatan.

Ketua PGRS Labuan Rosli Awang Damit berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli jawatankuasa pelbagai peringkat.

Bercakap pada Mesyuarat Agung Tahunan PGRS 2.0 di sini hari ini, Rosli berkata pilihan untuk mengelakkan perebutan jawatan kepimpinan adalah untuk mengekalkan perpaduan dalam parti.

"Keputusan untuk mengekalkan barisan sedia ada dibuat selepas mempertimbangkan kepentingan perpaduan parti," katanya.

Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob.

Rosli berkata fokus bahagian itu bagi tahun akan datang ialah memupuk transformasi pemikiran dalam kalangan ahli parti.

Transformasi itu katanya, ialah kunci untuk meningkatkan kehadiran PGRS di Labuan, sejajar dengan perjuangan parti untuk menstabilkan ekonomi Sabah dan Labuan melalui platform politik.

Beliau berkata PGRS Labuan berhasrat mengukuhkan pengaruh di pulau bebas cukai itu bagi menangani cabaran ekonomi dan peluang politik masa hadapan.

PGRS dinaungi Presiden iaitu Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan