POLITIK > BERITA

Isu 3R, Diesel Tidak Wajar Dimanipulasi Pada PRK DUN Mahkota 

12/09/2024 08:38 PM

KOTA BHARU, 12 Sept (Bernama) -- Isu sensitif berkaitan kaum, agama dan raja (3R) serta harga diesel tidak wajar dijadikan modal kempen oleh pembangkang sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota. 

 Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil berkata pembangkang seharusnya bersikap lebih konstruktif dan progresif dengan mengetengahkan isu yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya mengungkit perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau sudah tidak relevan. 

"Jangan guna rakyat untuk kepentingan politik atas nama 3R, ia tidak memberikan faedah kepada mana-mana pihak. Jadi perkara itu perlu dihindari.

"Malah, isu harga diesel juga sudah tidak relevan untuk dibangkitkan kerana kerajaan sudah menyediakan insentif tunai menerusi penyelarasan bahan api itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan B40 dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Bot Nelayan di LKIM Kuala Besar, di sini hari ini.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di Kluang, Johor.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) manakala bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61, pula calon Perikatan Nasional (PN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan