POLITIK > BERITA

PRK Mahkota Sekali Lagi Perlihat Kerjasama Erat Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

14/09/2024 04:45 PM

KLUANG, 14 Sept (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekali lagi memperlihatkan kerjasama erat antara parti politik dalam Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kerjasama antara parti itu terserlah di siri PRK sebelum ini apabila jentera parti saling membantu parti yang bertanding. 

"Kita (BN) tolong DAP di (PRK) Kuala Kubu Bharu (Selangor) kemudian kita tolong PKR pada PRK Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan semua orang juga membantu kita (BN) baru-baru ini semasa PRK Nenggiri (Kelantan).

“Kali ini yang bertanding ialah BN tetapi jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan turut bersama-sama kita bagi memastikan kemenangan kerusi DUN Mahkota kepada calon kita," katanya pada pelancaran Pusat Operasi Perpaduan PRK DUN Mahkota di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon BN pada PRK itu Syed Hussien Syed Abdullah. 

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian manakala hari undi awal ialah pada 24 Sept. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan