POLITIK > BERITA

Kerajaan Tunggu Surat Rasmi Pembangkang Tolak Draf MoU Peruntukan - Fadillah

15/09/2024 03:27 PM

PUSA (Sarawak), 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan menunggu surat rasmi daripada pihak pembangkang yang dilaporkan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah berkata setakat ini beliau hanya mengetahui berkenaan penolakan tersebut menerusi laporan media.

“Saya menunggu surat rasmi daripada mereka dan apabila ada nanti, saya akan bawa ke peringkat jawatankuasa majlis perundingan Kerajaan Perpaduan. Dari situ, kita akan berbincang lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Regata Pusa di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam MoU dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

Menyentuh asas penolakan itu, Fadillah berkata apa yang dikemukakan adalah draf MoU dan beliau mengharapkan pihak pembangkang akan mengemukakan cadangan balas terhadap perkara-perkara yang tidak dipersetujui dalam draf berkenaan.

“Kita akan bincang lanjut sama ada kita perlu meneruskan rundingan atau jika ini adalah keputusan muktamad daripada pihak pembangkang yang mereka tidak mahu berunding lagi,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan