POLITIK > BERITA

Golongan Muda 'Penentu' PRK Mahkota, Cabaran BN Pastikan Kemenangan Lebih Baik

15/09/2024 07:21 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 15 Sept (Bernama) -- Golongan muda dilihat sebagai penentu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, selain faktor kesediaan calon dalam menyelesaikan permasalahan isu setempat dihadapi penduduk. 

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ku Hasnan Ku Halim berkata golongan muda mendominasi jumlah pengundi iaitu lebih 52 peratus, menjadikan parti yang bertanding perlu bijak menambat hati mereka. 

Mengambil kira demografi itu, beliau berpandangan pihak terlibat antara lain perlu memanfaatkan platform media sosial bagi mendekati golongan muda, mengambil kira kedudukan DUN Mahkota yang terletak di tengah bandar Kluang. 

"Mahkota kawasan yang mempunyai rangkaian Internet yang baik kerana lokasinya di bandar. Mengambil kira ramai pengundi muda, rugi jika parti terlibat hanya berkempen dengan kaedah tradisional tanpa menggabungkan kedua-duanya. 

"Golongan muda kebanyakan bersikap atas pagar, namun mereka sebenarnya memerhati. Mana-mana calon yang berjaya menambat hati mereka, peluang untuk menang lebih cerah," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Kempen tradisional, bagaimanapun tetap penting bagi mendekati pengundi secara bersemuka selain bersifat lebih 'human touch', selain disenangi pengundi berusia dengan statistik menunjukkan 12,070 pemilih atau 18.20 peratus daripada 66,318 pengundi berdaftar di DUN Mahkota berusia 60 tahun ke atas.  

Selain itu, Ku Hasnan berkata pendekatan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan calon muda iaitu Syed Hussien Syed Abdullah, 40, juga tepat kerana lebih memahami kehendak golongan muda, namun tidak boleh terlalu selesa dengan kelebihan itu jika dibandingkan dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61. 

"Walaupun calon PN perlu lebih masa untuk mempopularkan dirinya berbanding calon BN, beliau ada pengikut sendiri khususnya dalam bidang sukan mengambil kira latar belakang sebagai pemain dan kini jurulatih bola sepak," katanya. 

Sementara itu, Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan walaupun di atas kertas BN nampak menguasai DUN Mahkota, parti itu sebenarnya berdepan cabaran memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada 28 Sept ini. 

Hal ini kerana terdapat kemungkinan sikap terlampau yakin pengundi bahawa BN akan menang, menyebabkan mereka tidak keluar atau balik mengundi, terutamanya pengundi luar yang menurut Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terdapat kira-kira 50 peratus pengundi menetap di luar DUN Mahkota. 

"Jika ini berlaku, ia memberikan imej atau persepsi tidak cantik kepada UMNO. Sebelum ini, BN menang dengan majoriti 5,166 undi. Itu tapak selesa yang dimiliki BN, tetapi mereka bukan sekadar perlu mengekalkan jumlah itu, sebaliknya harus mencipta kemenangan lebih baik bagi menunjukkan isyarat jelas kepada akar umbi bahawa parti sudah pulih. 

"Ini seterusnya akan menjadi isyarat, persediaan yang baik dan motivasi kepada parti untuk menghadapi pilihan raya seterusnya iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam masa terdekat. Ini sebenarnya cabaran kepada BN walaupun laluan mereka di DUN Mahkota dilihat selesa," katanya. 

Sehubungan dengan itu, Awang Azman berkata perkara itu menjadi cabaran terbesar bukan sahaja kepada calon, tetapi juga Pengarah PRK DUN Mahkota yang juga Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta jenteranya. 

Beliau berkata pengundi DUN Mahkota juga dilihat tidak mudah dipengaruhi isu nasional, perkara bersifat retorik atau sentimen kerana mereka dilihat dapat membezakan perkara berkenaan dengan baik, selain lebih fokus kepada isu setempat. 

"Dari segi kempen, saya kira pendekatan kempen yang lebih kecil akan berlaku, mengambil formula di PRK DUN Nenggiri (Kelantan) sebelum ini. Mereka bergerak menyantuni pengundi dalam dalam kumpulan kecil seperti datang rumah ke rumah secara berkelompok. 

"Selain itu, penganjuran program yang lebih kecil seperti acara sukan misalnya, lebih sesuai dengan pengundi muda yang diketahui kumpulan yang besar pada PRK kali ini, selain menggunakan sepenuhnya media sosial. Walaupun tidak berskala besar, harus diingat kempen yang dilakukan adalah bersasar," katanya. 

Berdasarkan rekod, DUN Mahkota mula dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004 yang menyaksikan kemenangan kepada BN dan dikekalkan pada PRU Ke-12 dan PRU Ke-13, sebelum tewas kepada Pakatan Harapan (PH) ketika 'tsunami politik' berlaku pada 2018, iaitu PRU ke-14. 

Bagaimanapun, BN menerusi penyandang kerusi itu Datuk Sharifah Azizah Syed Zain merampas semula DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dua tahun lepas dengan majoriti 5,166 undi dalam pertembungan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. 

Daripada keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, majoritinya atau 54 peratus pengundi Melayu diikuti pengundi Cina 34 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN berlangsung 28 Sept ini, manakala hari undi awal pada 24 Sept. 

PRK itu diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan