POLITIK > BERITA

PRK Mahkota: Syed Hussien Mampu Bawa Agenda Anak Muda - Onn Hafiz

16/09/2024 05:58 PM

KLUANG, 16 Sept (Bernama) -- Penerimaan pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah amat baik termasuk daripada golongan muda.  

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengarah PRK itu berkata pemilihan Syed Hussien juga pengiktirafan kepada golongan muda selain beliau yakin calon BN itu mampu membawa agenda golongan muda ke peringkat lebih tinggi. 

"Saya berpandangan keputusan pucuk pimpinan memberi peluang kepada pemimpin muda untuk dicalonkan bagi (membolehkan) mereka menghayati aspirasi pelbagai lapisan masyarakat. 

"Beliau (Syed Hussien) seorang yang peramah, mesra dan bertenaga dan saya yakin jika diberikan peluang menjadi wakil rakyat, beliau dapat berkhidmat dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Sembang Santai Bersama Belia DUN Mahkota di sini hari ini. 

Turut hadir ialah Syed Hussien yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang. Program itu disertai kira-kira 500 belia dari sekitar DUN Mahkota. 

Pada program itu, Onn Hafiz berkata pemilihan calon BN sebagai wakil rakyat di DUN Mahkota juga membolehkan lebih banyak agenda pembangunan termasuk yang melibatkan golongan muda dapat dilaksanakan di daerah ini. 

"Kita kena bergerak dalam satu pasukan kerana agenda orang muda Johor adalah agenda paling penting. Sebab itu kita ada (seperti) zon ekonomi khas, zon kewangan khas...saya berunding dan tingkatkan ekonomi anak muda Johor, malah berjumpa pelabur untuk tingkat peluang pekerjaan termasuk di Kluang," katanya. 

Pada perkembangan berkaitan, Onn Hafiz menggesa pengundi menolak dan tidak termakan dakwaan pembangkang pada ceramah di sini, yang dilaporkan berkata DAP, yang sebahagian daripada kerajaan Perpaduan, dijadikan alat oleh UMNO untuk meraih sokongan pengundi Cina. 

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak wajar, Onn Hafiz berkata politik seperti itu tidak sesuai di Johor malah beliau sendiri ada memberi ingatan selepas penamaan calon pada Sabtu lepas, supaya berkempen dengan 'cara Johor' iaitu tidak menjejaskan keharmonian.

"Sama-samalah kita menjaga adab, tertib dan keharmonian bangsa Johor.  Jangan kita terikut tohmahan dan hasutan. Ini rayuan saya kepada bangsa Johor terutamanya di DUN Mahkota," katanya. 

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan