POLITIK > BERITA

PRK Mahkota: PH Giat Kempen Tingkat Kesedaran Pengundi Tunai Kewajipan

17/09/2024 10:11 AM

KLUANG, 17 Sept (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) giat berkempen bagi meningkatkan kesedaran pengundi untuk menunaikan kewajipan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan berlangsung 28 Sept ini. 

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang merupakan Penyelaras PH Kluang bagi PRK itu, berkata terdapat segelintir kecil penduduk tidak menyedari PRK sedang berlangsung, menyebabkan jentera mereka membantu pengundi membuat semakan pusat mengundi, selain hebahan PRK. 

Ditanya mengenai penerimaan pengundi bukan Melayu terhadap calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah yang mewakili kerajaan Perpaduan pada PRK itu, Wong berkata ia adalah baik. 

"Walaupun maklum balas adalah baik, kita perlu memastikan peratusan keluar mengundi juga berada pada tahap yang memuaskan. Kami berharap kadar pengundian dapat melebihi 60 hingga 70 peratus. Namun, memandangkan ini adalah pilihan raya kecil, adalah sangat sukar untuk mencapai 70 peratus," katanya semasa ditemui pada Pesta Tanglung di Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor Kluang di sini semalam.

Turut hadir ialah Syed Abdullah yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang.

Selain itu, Wong berkata tiada keperluan untuk beliau mengulas dakwaan pembangkang yang cuba memburukkan DAP dalam PRK tersebut, kerana beliau berpendapat isu tersebut bersifat retorik dan hanya dimainkan oleh mereka yang ketandusan modal politik.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan