POLITIK > BERITA

PRK Mahkota: Syed Hussien Enggan Selesa, Tidak Pandang Rendah Lawan

18/09/2024 01:01 PM

KLUANG, 18 Sept (Bernama) -- Walaupun sokongan pengundi dianggap positif, calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah enggan berasa selesa, sebaliknya bertekad untuk terus bekerja keras sehingga tamat tempoh berkempen.

Beliau sekali lag menegaskan bahawa selain kempen kepada pengundi di kawasan, jentera juga akan terus mempergiatkan kempen terhadap kumpulan pengundi 'senyap' dan mereka yang menetap di luar DUN Mahkota menerusi media sosial. Ini bertujuan untuk memastikan peratusan keluar mengundi pada 28 Sept ini, adalah memuaskan.

"Jangan pandang rendah lawan. Walaupun ramai yang mengenali saya dan keluarga di sini, namun masih perlu beringat lawan juga ada kelebihan dan ini (PRK DUN Mahkota) tetap pertandingan yang tidak boleh dipandang ringan. Jangan berasa terlalu selesa. 

"Fokus kita untuk terus mendekati pengundi kerana setiap undi amat penting untuk memastikan kejayaan parti," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Desa Cergas di Laman Komuniti Kampung Melayu di sini hari ini. 

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63,  pada 2 Ogos lepas, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini,.

Pilihan raya sebelum ini menyaksikan Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru menentang Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan