POLITIK > BERITA

Kemenangan Pada PRK Mahkota Bukti Kejayaan Formula Kerjasama Kerajaan Perpaduan

29/09/2024 03:24 PM

SEREMBAN, 29 Sept (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam membuktikan formula kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan berjaya menyatukan sokongan daripada semua kaum.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata meskipun kerusi itu diwakili calon BN, namun kejayaan Syed Hussien Syed Abdullah memenangi semua daerah dan saluran mengundi merupakan kemenangan kepada kesemua parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang turut sama berkempen pada PRK itu.

“Ini membuktikan bahawa kita boleh menyatupadukan rakyat pelbagai kaum untuk menyokong agenda Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal ke-20 di sini hari ini.

PRK DUN Mahkota menyaksikan Syed Hussien menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi, sekali gus mengekalkan BN di DUN berkenaan.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata meskipun meraih kejayaan besar, semua pihak tidak boleh berpuas hati kerana perlu mengambil kira sentimen pengundi yang boleh berubah pada bila-bila masa.

“Ini petanda positif, tetapi kita kena faham sentimen pengundi, kena ambil maklum ada sebahagian tidak keluar mengundi, adakah mereka juga sokong kita atau tidak, perubahan sentimen pengundi boleh berlaku dengan cepat, kita perlu berusaha dengan capai prestasi yang baik,” katanya.

Ditanya sama ada DAP cenderung untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Johor selepas kemenangan itu, Loke berkata: "Kerajaan Johor dibentuk sebelum Pilihan Raya Umum lepas, apa sahaja kerjasama dalam PRU kita tentukan pada masa berkenaan, setakat ini kita tidak meminta apa-apa bentuk Kerajaan Perpaduan”.

Di IPOH, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming berkata keputusan PRK itu menunjukkan rakyat sudah muak dengan isu 3R (kaum, agama dan raja) dibawa pembangkang, sebaliknya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara yang kini berada pada tahap lebih baik.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa Pemuda Sosialis Parti Demokratik Malaysia (DAPSY) Negeri Perak 2024, Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan harus mencari jalan untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu untuk keluar dalam sebarang pilihan raya.

Pada konvensyen hari ini, Nga turut mengumumkan Jawatankuasa DAP Negeri Perak sebulat suara menyokong Ketua DAPSY Perak Woo Kah Leong sebagai calon Ketua DAPSY Kebangsaan.

"Saya mewakili jawatankuasa negeri mengucapkan terima kasih kepada DAPSY Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah yang menyatakan sokongan padu kepada Woo sebagai calon yang bakal menggantikan Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang berundur atas had umur," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan