POLITIK > BERITA

Program Jelajah Bongkar, Platform Rakyat Nilai Pemimpin Negeri Dipilih

12/10/2024 11:04 PM

SUNGAI PETANI, 12 Okt (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Kedah menganjurkan Program Jelajah Bongkar sebagai platform untuk rakyat di negeri itu menilai prestasi setiap wakil rakyat yang dipillih mereka, sama ada telah menunaikan janji sejak dipilih menerajui Kedah.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata program berbentuk turun padang itu bertujuan memberi penerangan berkaitan fakta serta fitnah tentang sesuatu isu atau perkara yang berlaku.

"Jadi inilah yang telah dibuat dan disusun oleh Badan Perhubungan UMNO Kedah dan juga seluruh 15 Bahagian UMNO untuk memastikan kita dapat turun ke bawah memberi pandangan, peringatan kepada rakyat negeri Kedah," katanya.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Bongkar di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dekat sini hari ini.

Beliau berkata penting untuk rakyat Kedah menilai sama ada pemimpin yang dipilih itu telahpun melaksanakan janji-janji mereka semasa pilihan raya lepas.

"Apa yang paling penting bila kita berdepan dengan masalah rakyat contohnya banjir… kerajaan Persekutuan menyalurkan RM13 juta. Jadi saya nak tanya dalam keadaan ramai rakyat yang terkesan itu, adakah mereka mendapat bantuan daripada kerajaan negeri?

"Janji-janji yang telah dilontarkan waktu pilihan raya yang lepas pula, adakah ia telah ditunaikan atau tidak… jadi inilah antara isu-isu yang kita bincang tadi dalam Jelajah Bongkar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rakyat perlu melihat realiti berbanding cerita fitnah dan kebencian.

"Kita cakap benda yang betul kepada rakyat bukan retorik, bukan cerita pembohongan… cerita benar dalam hal berkaitan dengan kebajikan rakyat dan bagaimana masa hadapan di Kedah ni, berubah atau jalan terus ke hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan