KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2026.
Ewon yang juga Menteri pembangunan Usahawan dan Koperasi dipilih ke jawatan itu dalam mesyuarat agung PH Sabah di sini hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Seri Christina Liew, juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, yang telah menjadi Pengerusi PH Sabah sejak 2017.
Ketika mengumumkan perkara itu, Ewon berkata pemilihan itu merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas bagi memastikan jentera PH Sabah dan Kerajaan MADANI dapat memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.
Dalam memegang jawatan tersebut, beliau juga berhasrat agar PH Sabah memastikan kestabilan Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membangunkan Sabah serta Persekutuan Malaysia.
“PH Sabah mempunyai autonomi dalam menentukan tadbir urus dan kerjasama politik. Keputusan mesyuarat PH Sabah hari ini telah memenuhi semua kehendak perlembagaan PH dan telah berjalan dengan lancar.
“Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada Christina di atas sumbangan besar beliau sepanjang menjadi Pengerusi PH Sabah selama ini. Kita akan maklumkan secara rasmi kepada pimpinan PH tentang keputusan ini dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu.
Ewon berkata walaupun beliau daripada UPKO, sebuah parti dari Sabah, tidak timbul satu perasaan bahawa PH Sabah mesti diterajui parti tempatan kerana gabungan itu mempunyai wawasan dan matlamat yang lebih besar iaitu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.
“PH Sabah sama ada dipimpin PKR, DAP, AMANAH atau UPKO mempunyai tanggungjawab yang sama memastikan masa depan Sabah itu lebih baik dalam Persekutuan Malaysia. Maka soal (siapa) pengerusi (PH) itu adalah perkara kedua bagi kami,” katanya.
Ditanya tentang persediaan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) tahun depan, beliau berkata langkah pertama yang akan dilakukan beliau sebagai Pengerusi PH Sabah adalah memanggil semua jentera gabungan itu dalam masa terdekat itu bagi membincangkan mengenai pilihan raya tersebut.
Sementara itu, Liew, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, ketika ditemui wartawan di luar mesyuarat, berkata beliau tidak mempunyai sebarang rasa terkilan dan mendoakan yang terbaik buat kepimpinan PH Sabah.
“Apa yang paling penting adalah kita bersatu padu dalam PH Sabah, terutama sekali dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang. Saya akan memberi tumpuan kepada kawasan Api-Api bagi memastikan kemenangan dan mempertahankan kerusi tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial