KINABATANGAN, 10 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan sebanyak 65 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 24 Jan ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata jangkaan peratusan itu sama seperti yang disasarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tahun lepas.
Beliau turut memberi jaminan proses pengiraan undi bagi PRK Kinabatangan dan DUN Lamag akan berjalan dengan lancar.
Jaminan itu diberikan susulan kontroversi yang pernah berlaku semasa proses pengiraan undi bagi kerusi DUN Lamag pada PRN Sabah.
“Kalau ada kelemahan, kita akan tambah baik dan perbaiki dalam proses pengiraan undi yang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Dewan Sri Lamag, di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan, Ramlan berkata SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen, manakala seramai 39 pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi turut mengambil bahagian bagi memastikan ketelusan PRK Kinabatangan dan Lamag.
Beliau menegaskan calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan untuk tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti serta gambar pemimpin parti yang diwakilinya.
“Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak serta penerbitnya, kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding.
“Bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman, menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Ramlan berkata pihaknya berharap dan menyeru agar semua aktiviti kempen dijalankan secara harmoni serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas. SPR menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan adalah pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial